Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mendedahkan baginda mencadangkan projek laluan LRT3 Shah Alam susulan keluhan golongan suri rumah kerana suami mereka kerap lambat pulang ke rumah.
Semua itu gara-gara mereka terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas, khususnya di Lebuh Raya Persekutuan–laluan penting Kuala Lumpur-Klang, Selangor.
“Beta masih ingat, titah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu, beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan beta itu.
“Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang beta terima daripada suri rumah mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan khususnya,” titah baginda.

Dalam kenyataan hari ini Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa Klang ketika itu hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang, menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk.
“Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Datuk Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titah baginda.
Baginda mendedahkan kisah itu ketika memuji Najib yang menerima cadangan baginda sebelum ini serta Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengembalikan semula lima buah stesen yang dibatalkan dan akan membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.
Dua pemimpin DAP tak faham
Kenyataan sama bagaimanapun mengkritik dua pemimpin DAP iaitu, menteri kewangan sebelum ini Lim Guan Eng dan penasihatnya Tony Pua.

Baginda bertitah, apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021.
Ketika itu, titah baginda, Lim mengurangkan kos dengan mengecilkan saiz stesen, mengurangkan gerabak dan membatalkan pembinaan lima stesen.
Bagi baginda, tindakan itu tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.





