Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama) berpendapat ada tiga kaedah yang boleh dilakukan oleh Najib Razak untuk mendapatkan pelepasan segera daripada terus meringkuk dalam penjara.
Menurut NGO itu, yang pertama bekas perdana menteri terbabt mesti memastikan baki kesnya yang ada di mahkamah diselesaikan sepenuhnya; diikuti dengan mengaku bersalah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia kerana menyelewengkan dana awam; serta bersara sepenuhnya daripada politik.
Kata Projek Sama, kes-kes mahkamah itu wajar diselesaikan sama ada dengan mengikuti semua prosedur yang ada atau membuat permohonan mengaku bersalah berdasarkan Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah.
Langkah itu, kata NGO tersebut, perlu dibuat jika Najib benar-benar berhasrat untuk memohon pengampunan bagi sabitan kes SRC International Sdn Bhd sebelum ini.
"Projek Sama menggesa agar Najib dan keluarganya berhenti mencari 'kad bebas penjara VIP' melalui peti undi mahupun lobi istana," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ia hadir ketika hampir 3 juta pengundi berdaftar bersedia memilih untuk memberikan mandat kepada kerajaan baru di Johor.
PRN Johor kali ini turut diwarnai dengan isu pembebasan dan pengampunan Najib - yang kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Dia dihukum 12 tahun penjara dan dikenakan denda RM210 juta.
Cuma instrumen sokongan
Bagaimanapun pada 2024 Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memberikan keringanan kepada Najib dengan mengurangkan tempoh penjara kepada hanya enam tahun, manakala denda diturunkan kepada RM50 juta.
Minggu lalu salah seorang anak Najib, Nazifuddin, menekankan pentingnya Umno-BN menang besar di PRN Johor sebagai isyarat yang rakyat mahukan agar Najib - atau juga dikenali sebagai Bossku - mendapat pembebasan awal.
Namun Umno segera mengendurkan naratif tersebut dengan menegaskan keputusan pilihan raya tidak boleh menentukan pembebasan Najib.
Menurut Projek Sama, sangat penting untuk orang ramai melihat lebih jauh daripada sekadar aspek proses dan prosedur teknikal dalam isu pembebasan Najib, sebaliknya meneliti makna serta implikasi yang lebih mendalam dalam sesebuah pengampunan.

Katanya empat kes Najib - sama ada yang sedang berjalan atau sudah disabitkan - melibatkan jumlah keseluruhan yang sangat besar iaitu RM8.99 bilion.
Menurut NGO itu lagi, jumlah tersebut boleh membina 93 buah sekolah baru atau 34 buah hospital baru.
"Jika seorang rakyat biasa berpendapatan mengikut gaji bulanan penengah sebanyak RM2,864, mereka terpaksa bekerja selama 310,653 tahun semata-mata untuk menyimpan jumlah sebesar itu.
"Sebagai perbandingan, jika kira-kira 570,000 rakyat Malaysia yang mencapai usia 18 tahun pada 2025 semuanya berpendapatan RM2,864 sebulan, setengah juta belia berkenaan perlu mengumpulkan semua pendapatan mereka selama 5.5 bulan semata-mata untuk mengumpul jumlah kerugian tersebut," katanya.
Projek Sama menegaskan, pengampunan sepatutnya menjadi instrumen sokongan untuk melengkapi keadilan, dan bukannya mencabuli keadilan.
"Tanpa mengira prosedur yang terlibat, pengampunan akan hilang keabsahannya dan meninggalkan persepsi yang amat buruk sekiranya ia meruntuhkan kedaulatan undang-undang serta menggugat kepercayaan orang awam terhadap sistem keadilan jenayah," katanya.





