Enam lelaki tempatan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor esok atas pertuduhan menculik bagi mendapatkan wang tebusan RM7 juta dalam kes penculikan yang dilaporkan berlaku di Petaling Jaya pada 17 Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata siasatan terhadap lapan suspek telah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Jumaat lepas sebelum menerima arahan pertuduhan.
Beliau berkata daripada lapan suspek terbabit, enam akan dituduh mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan, manakala dua lagi, iaitu seorang wanita dan lelaki tempatan, dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan selepas diikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada 27 Julai 2026, 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited mengambil tindakan berterusan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah, khususnya jenayah kekerasan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Orang ramai juga diseru supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa,” katanya.
Rabu lepas, Kumar berkata lelaki berusia 44 tahun yang diselamatkan dalam kes penculikan itu telah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 selepas siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam sindiket dadah.
Sehari sebelumnya, polis turut menahan dua lagi individu di beberapa lokasi di Selangor, termasuk seorang bekas anggota polis yang dipecat pada 2023 berusia lingkungan 30-an, kerana disyaki terlibat dalam kes culik itu.
Pada 19 Julai lepas, polis menyelamatkan mangsa dan menahan enam individu termasuk seorang wanita, berusia 30 hingga 46 tahun, yang dipercayai menuntut wang tebusan RM7 juta dalam operasi khas di Selangor.
Kesemua suspek direman 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.





