Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berpandangan insentif atau subsidi gula sebanyak RM1 sekilogram masih wajar diteruskan pada waktu ini, meskipun terdapat pengimport yang mampu menjual gula pada harga lebih rendah tanpa subsidi kerajaan.
Menurut Mahathir, mengekalkan subsidi adalah langkah yang masih relevan selagi harga gula dilihat membebankan rakyat.
“Ya, kalau ada pengimport jual lebih murah, subsidi kita (perlu) teruskan melainkan kalau harga gula itu tidak lagi menjadi beban kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang meja bulat berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (RTA) antara Amerika Syarikat dan Malaysia bersama parti-parti politik serta NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang keperluan meneruskan insentif tersebut.

Sebelum ini, Malaysiakini membangkitkan persoalan mengenai rasional di sebalik penerusan insentif gula, sedangkan ada syarikat yang dilapor mampu menjual pada harga lebih murah tanpa sebarang subsidi.
Insentif gula yang dianggarkan menelan belanja kerajaan sehingga RM500 juta setahun itu turut menimbulkan tanda tanya, terutama apabila penyakit kencing manis kini dianggap sebagai krisis kesihatan nasional.
Persoalan juga timbul mengapa kerajaan masih mengekalkan subsidi tersebut walaupun ia memberi tekanan kepada kewangan negara. Situasi ini bahkan dikatakan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sendiri mengenai justifikasi dasar berkenaan.
Mengulas mengenai peningkatan kes diabetes di Malaysia, Mahathir menegaskan kepentingan meneruskan kempen kesedaran untuk mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat.

“Kita sedang ada kempen supaya orang Malaysia janganlah makan terlalu banyak gula, tak sihat.
“Kempen kena jalan tapi harga kena turunlah,” katanya.
Ketika ini, harga gula di pasaran Malaysia ialah RM2.85 sekilogram — lebih rendah daripada harga sebenar RM3.85 sekilogram.
Ini bermakna pengguna hanya membayar RM2.85 manakala kerajaan menanggung baki RM1 bagi setiap kilogram.





