Badan pemantau pilihan raya Bersih hari ini mengecam peruntukan kerajaan baru-baru ini yang diumumkan di Sungai Bakap, menjelang pilihan raya kecil di kawasan itu.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa pemandu kumpulan itu mendakwa amalan tidak beretika seperti itu telah menjadi kelaziman baru bagi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) meski mengecam tindakan seumpamanya ketika menjadi pembangkang.
"Bersih dengan keras menyelar tindakan menggunakan sumber kerajaan semasa pilihan raya, tidak kira sama ada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum.
"Umum maklum, selepas pengumuman kekosongan kerusi oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), satu pilihan raya kecil akan diadakan. Maka di sini sepatutnya para menteri, baik di peringkat kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri sudah patut mengetahui batasan perananan mereka dalam tempoh ini," kata Bersih.
Kenyataan itu susulan peruntukan yang dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Pada 11 Jun, Anwar melalui setiausaha politiknya Mohd Shamsul Mohd Akin memperuntukkan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau dalam kawasan Sungai Bakap di Pulau Pinang.
Pada hari yang sama, Nga turut mengumumkan peruntukan RM18 juta untuk membiayai pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, di bawah program Sentuhan Kasih.
Mengulas lanjut, Bersih berkata kerajaan mesti sedar bahawa “gula-gula pilihan raya” seperti peruntukan tidak akan menjadikan kerajaan lebih popular di kalangan pengundi.
Sebaliknya, kata Bersih, kerajaan akan dilihat menggunakan sebarang cara untuk menang, termasuk kaedah yang sebelum ini dikutuk sebagai tidak adil, sekali gus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap pilihan raya yang bersih dan adil.
Kumpulan itu kemudiannya mengulangi gesaan agar garis panduan komprehensif mengenai kerajaan bukan sementara dan kerajaan sementara semasa tempoh pilihan raya dijadikan undang-undang bagi mengelakkan penyalahgunaan sumber kerajaan.
Bersih sebelum ini menegur Nga kerana mengumumkan peruntukan RM5.21 juta untuk penduduk Hulu Selangor, termasuk projek di Kuala Kubu Bharu, menjelang pilihan raya kecil di sana.
PRK Sungai Bakap dijadualkan pada 6 Julai berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei.





