Bersatu lebih rela bergerak sendirian dan menempuh “jalan yang sunyi” daripada menggadaikan maruah serta prinsip demi mempertahankan kerjasama politik yang dianggap tidak lagi ikhlas.
Timbalan Ketua Bersatu Pahang Jasri Jamaludin (gambar bawah) berkata perkembangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan membuktikan keputusan parti itu untuk memilih haluan sendiri sebagai langkah yang tepat.
"Lebih baik bersendirian daripada terus dikhianati. Ada masanya, keberanian memilih jalan yang sunyi jauh lebih mulia daripada terus bertahan dalam hubungan yang dipenuhi pengkhianatan.
"Jika ada rezeki, kemenangan tetap akan datang.

“Jika belum berjaya, sekurang-kurangnya maruah dan prinsip tidak pernah dijual murah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jasri yang juga Adun Kuala Sentul dipercayai merujuk persefahaman pilihan raya antara BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan selepas proses penamaan calon selesai hari ini.
BN menampilkan calon di 25 kerusi manakala PN bertanding di 11 kerusi tanpa berlaku pertembungan antara kedua-duanya. Bersatu pula mengumumkan 24 calon, termasuk dua daripada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), yang bertanding menggunakan lambang Bersatu.
Menurut Jasri, perkembangan itu menunjukkan serangan daripada musuh politik sememangnya dijangka, tetapi lebih menyakitkan apabila tindakan tersebut datang daripada pihak yang selama ini dianggap sebagai rakan.

"Apabila kepercayaan sudah berkecai, tidak ada lagi gunanya berpura-pura bahawa semuanya masih baik.
"Selepas ini, jangan terkejut jika Bersatu pula dijadikan sasaran. Bertanding menggunakan lambang sendiri akan diputar belit sebagai punca perpecahan," katanya.
Dia mendakwa Bersatu tidak pernah dianggap sebagai rakan setaraf dalam hubungan politik PN, sebaliknya sering dipersalahkan tanpa mengira pendirian yang diambil parti itu.
"Selama ini pun, parti ini sering dilayan seolah-olah hanya "melukut di tepi gantang".

"Apa sahaja yang dilakukan pasti ada sahaja naratif untuk memburukkannya. Jika mengalah, dikatakan lemah.
"Jika mempertahankan pendirian, dituduh angkuh. Jika bertolak ansur, dikatakan menumpang. Jika memilih haluan sendiri, terus dilabel pemecah-belah," jelasnya lagi.
Jasri berkata persoalan mengenai pihak yang memecahkan penyatuan tidak seharusnya timbul kerana penyatuan politik bukan sekadar berkongsi lambang, pentas atau slogan.
Sebaliknya, katanya, penyatuan hanya bermakna jika semua pihak setia terhadap matlamat perjuangan serta ikhlas dalam menjalinkan persahabatan politik.

"Bagaimana mahu bercakap tentang penyatuan dalam kalangan parti-parti Melayu jika pada masa yang sama Umno dan BN masih memilih untuk terus bersama Pakatan Harapan dan DAP?
"Selagi hakikat itu tidak berubah, gesaan supaya semua pihak kembali bersatu hanya tinggal slogan yang tidak membawa makna," tambahnya.
Atas alasan itu, Jasri menegaskan pendirian Bersatu dan Presidennya Muhyiddin Yassin kekal konsisten dalam memilih perjuangan berasaskan prinsip.
Katanya, lebih baik Bersatu berdepan pengundi dengan pendirian yang jelas daripada menggadaikan prinsip demi memuaskan pihak yang tidak pernah benar-benar menganggap parti itu sebagai rakan.
"Dalam politik, maruah dan prinsip akhirnya jauh lebih bernilai daripada sebuah kesatuan yang hanya indah pada nama tetapi rapuh dalam realiti," katanya.





