25.2 C
Kuala Lumpur
Friday, June 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Belum ada imbuhan buat penggali kubur

    Shopee Sale

    Kerajaan tidak menyediakan bayaran insentif untuk penggali kubur di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

    Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Zulkifli berkata buat masa ini, belum ada lagi imbuhan dan insentif kepada penggali kubur sebagaimana yang diterima oleh para imam dan bilal.

    “Merujuk kepada amalan pemberian insentif ini, hampir kesemua masjid dan kebanyakan surau menubuhkan biro khairat kematian dan kebajikan.

    “Penggali kubur dan tukang mandi jenazah ini akan dibayar imbuhan sagu hati daripada peruntukan biro tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

    Terdahulu, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) bertanyakan sama ada kerajaan dapat menyediakan elaun kepada penggali kubur.

    Mohd Hasnizan Harun

    Bercakap di Parlimen, Mohd Hasnizan mencadangkan agar kerajaan turut memberikan elaun khas kepada penggali kubur bagi menghargai jasa mereka.

    Kata Mohd Hasnizan, kebajikan golongan terbabit yang bekerja di belakang tabir perlu diberi perhatian memandangkan mereka terlibat dengan kerja yang berat tanpa mengira waktu.

    “Dalam Belanjawan 2025 kerajaan setuju beri sumbangan khas kepada imam dan bilal, terima kasih atas keprihatinan kerajaan. Namun saya mohon kerajaan melihat juga kebajikan penggali kubur.

    “Mereka perlu diberi elaun khas setimpal dengan kerja mereka,” kata ahli Parlimen PAS itu.

    Isu logo halal

    Dalam pada itu, mengulas perkembangan mengenai logo halal atau sijil halal produk yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar dan pembekal Zulkifli berkata hanya lima peratus sahaja pemegang Sijil Pengurusan Halal Malaysia (SPHM) yang tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

    MENARIK:  Israel rampas 12,000 ekar tanah di Tebing Barat sejak 7 Okt

    “Sepanjang Jan sehingga Dis 2024, sebanyak 4,129 buah syarikat atau premis pemegang SPHM telah dipantau di seluruh negara. Hasil daripada pemantauan didapati sebanyak 95 peratus syarikat mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia,” katanya.

    Zulkifli Hasan

    Selain itu katanya tindakan penguatkuasaan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 akan diambil terhadap mana-mana syarikat ataupun premis yang menggunakan logo atau sijil halal palsu selain daripada logo halal Malaysia dan logo badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    Menurutnya lagi, sepanjang tahun 2024 Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri telah menguruskan sebanyak 337 aduan awam berkaitan kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 termasuk berkaitan penyalahgunaan logo halal dan telah pun diambil tindakan.

    “Sebanyak 433 kali pemeriksaan dan operasi dirancang dan dilaksanakan bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat yang menyalahi perundangan sedia ada,” katanya.

    Cuti Aidiladha

    Ketika hendak mengakhiri ucapan penggulungannya, Shamshulkahar Deli (BN-Jempol) bangkit mencelah dengan menyeru kerajaan menetapkan dua hari cuti umum di seluruh negara bagi sambutan Aidiladha, berbanding sehari ketika ini.

    Shamshulkahar berkata, cuti sehari tidak mencukupi kerana menyukarkan umat Islam untuk pulang ke kampung halaman menyambut perayaan itu.

    “Ramai yang tidak dapat merayakan Hari Raya Aidiladha di kampung sebab faktor logistik, masa yang sangat singkat dan melaksanakan ibadah korban serta meraikan perayaan Aidiladha yang menjadi tuntutan ajaran Islam,” katanya.

    Bagaimanapun, Zulkifli tidak menjawab pertanyaan yang dibangkitkan wakil rakyat kerajaan itu.

    Ketika ini, hanya Kelantan dan Terengganu menetapkan cuti umum dua hari bagi Aidiladha.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah