Bekas calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi parlimen Bera, Asmawi Harun dilantik sebagai penyelaras Parti Wawasan Negara (Wawasan) Pahang berkuat kuasa 10 Julai lalu.
Asmawi yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini merupakan ketua Bersatu Bahagian Bera sebelum menyertai gerakan Reset yang diketuai Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin.
Menurutnya, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat Wawasan yang dipengerusikan Hamzah pada 10 Julai.
"Pelantikan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat dipengerusikan Hamzah selaku presiden parti pada 10 Julai.

"Buat masa ini, perananan saya adalah menyelaras gerak kerja dan memperkukuhkan organisasi Wawasan di Pahang.
"Mengenai struktur organisasi parti serta pelantikan jawatan-jawatan lain di peringkat negeri, perkara tersebut masih dalam proses penyusunan dan akan diumumkan oleh pihak parti pada masa yang sesuai," katanya kepada Malaysiakini.
Pada PRU15, Asmawi tewas dalam pertandingan tiga penjuru di Bera yang dimenangi calon BN, Ismail Sabri Yaakob, yang ketika itu merupakan perdana menteri.
Mengulas pengumuman Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mengenai kedudukan Wawasan dalam gabungan itu, Asmawi berkata perkembangan berkenaan dijangka melancarkan lagi gerak kerja PN di Pahang.

Katanya, penyertaan rasmi Wawasan dalam PN membolehkan parti itu bekerjasama dengan komponen lain bagi menjayakan misi PN Teraju Pahang pada pilihan raya umum akan datang.
"Hubungan kami dengan komponen PN Pahang memang sedia rapat dan saya harap dengan pengumuman secara rasmi Wawasan diterima sebagai anggota PN, ia dapat memudahkan lagi kami merancang dan membuat keputusan strategik untuk PRU seterusnya," katanya.
Takiyuddin dalam kenyataan semalam mengumumkan Wawasan secara rasmi menjadi anggota PN selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara pada 6 Julai lalu.
"PN menerima pemakluman bahawa pihak ROS telah meluluskan permohonan pertukaran nama PCM kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) pada 6 Julai 2026.

"Sehubungan dengan itu, Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) secara sah menjadi parti anggota PN atas namanya mulai tarikh tersebut berdasarkan peruntukan Fasal 6.5, Perlembagaan PN," kata Takiyuddin.





