Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini memilih timbalan pesuruhjaya 1 PAS negeri itu, Baharuddin Ahmad, dan Setiausaha Bersatu Perlis, Azahar Hassan sebagai ahli Dewan Negara.
Pemilihan Baharuddin, 68, dan Azahar, 54, dibuat bagi menggantikan Aziz Ariffin dan Seruandi Saad yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka pada 25 Ogos lalu.
Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli mencadangkan nama Baharuddin dan Azahar sebelum disokong oleh Adun Simpang Empat, Razali Saad, dan Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis).
Terdahulu Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan berkata selaras dengan Perkara 45 dan Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan, notis pemakluman daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi memaklumkan dua ahli Dewan Negara yang dilantik sebelum ini tamat tempoh perkhidmatannya.
"Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis telah perkenan dan menitahkan DUN Perlis membuat pengundian bagi mengisi kekosongan tersebut dengan segera,” katanya pada persidangan DUN Perlis di Kangar hari ini.
Baharuddin pernah berkhidmat sebagai Pengurus Pos Malaysia Pulau Pinang manakala Azahar ialah seorang pesara guru.





