29.6 C
Kuala Lumpur
Monday, September 7, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bagaimana Hafizuddeain, Nizam boleh bolos tapisan SPRM, soal Rafizi

    Shopee Sale

    Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mempersoalkan alasan SPRM terlepas pandang rasuah dalam pegawai kanan tentera memandangkan semua pelantikan dan kenaikan pangkat perkhidmatan awam mewajibkan penapisan oleh suruhanjaya itu.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata saringan SPRM adalah wajib, selain pemeriksaan dan keperluan lain, untuk menentukan kelayakan calon bagi kenaikan pangkat atau pelantikan dalam kerajaan.

    Ahli Parlimen Pandan itu berkata berdasarkan pengalamannya sebagai seorang menteri, amalan itu bukan sahaja terpakai kepada pegawai kanan, tetapi juga mereka yang berpangkat rendah.

    Merujuk kepada kes bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan dan bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar, Rafizi berkata ini membuktikan saringan SPRM tidak mencukupi dalam menghalang mereka yang mempunyai kes rasuah daripada dinaikkan pangkat.

    "Bila jadi macam ni, jangan salahkan rakyat kalau rakyat sinis. Masa nak dinaikkan pangkat semua cantik, SPRM lulus semua.

    "Bila ada yang tak berkenan atau tak kena, korek balik semua yang dulu-dulu," katanya dalam perkongsian di media sosial.

    Melabelkan perkara itu sebagai "plot twist", Rafizi mengajukan kenyataannya itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

    "Azam Baki dengan gah keliling podcast tunjukkan dia berani lawan rasuah - tetapi prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada merawat)," tambah Rafizi.

    Pada 23 Januari, Nizam minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan, termasuk penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah jenayah (CBT) atas RM3.75 juta.

    Ini termasuk didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk mengaut keuntungan lebih RM550,000 daripada pemberian kontrak bagi mendapatkan sarung, tuala mandi dan barangan lain yang bertujuan untuk pakej hadiah hari taya.

    Begitu juga, Hafizuddeain yang sebelum itu dijadual menggantikan Nizam, minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM145,000.

    MENARIK:  Koperal mengaku tidak bersalah cederakan tujuh anggota tentera

    Sehari sebelumnya, dia juga minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima lebih RM2.12 juta hasil daripada aktiviti haram.

    Mengulas kes Hafizuddeain, Rafizi berkata dakwaan rasuah itu dikaitkan dengan kontrak perolehan sejak 2023.

    "Masa dilantik panglima tentera darat pada September 2023 - SPRM luluskan tapisan.

    "Sedangkan kes yang beliau kena dakwa adalah bersabit kontrak sejak 2023 lagi - sebenarnya apa bentuk tapisan yang SPRM buat ni?" soal Rafizi.

    Hafizuddeain ialah bekas panglima tentera darat pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan tender perolehan tentera Malaysia.

    Rafizi berkata perkara yang sama juga untuk Nizam, yang dilantik sebagai panglima angkatan tentera pada 31 Januari 2025.

    "Salah satu dakwaan rasuah adalah perolehan sebanyak RM1.725 juta kepada Helmee Resources pada 24 Jun 2024; iaitu sebelum beliau dinaikkan pangkat.

    "Bila beliau nak dinaikkan pangkat, SPRM yang bertanggungjawab semak dan buat tapisan.

    "Tapi bolos," kata Rafizi.

    Dilampirkan pada catatan Rafizi ialah pekeliling 2017 daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, yang menyatakan bahawa penjawat awam yang akan dinaikkan pangkat mesti memenuhi syarat-syarat terlebih dahulu.

    Ini termasuklah pengesahan perkhidmatan, prestasi kerja pada tahap yang ditetapkan, pensijilan daripada ketua jabatan, tiada sejarah tindakan tatatertib, pengisytiharan aset, lulus pemeriksaan integriti SPRM, dan syarat lain yang ditentukan oleh lembaga yang tidak dinamakan.

    Rafizi melampirkan satu lagi pekeliling JPA dari tahun 2010, yang memperincikan keperluan serupa untuk kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam.

    "Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010 mengenai syarat pemangkuan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam, yang secara khusus menyebut sebarang kenaikan pangkat bukan sahaja perlu melepasi tapisan SPRM, tetapi perlu mengisytiharkan harta," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah