PARLIMEN | Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menjangkakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul akan membuat keputusan mengenai kekosongan kerusi enam ahli parlimen Bersatu, selewat-lewatnya minggu depan.
Bercakap kepada media, Mohd Azizi berkata ia berdasarkan arahan untuk pihaknya memberikan jawapan balas terhadap notis yang dikemukakan Johari, Isnin lalu.
“Kita agak begitulah, kalau ikut pada notis yang kita dapat, maknanya parti dah hantar notis kepada pejabat Speaker minggu lalu dan Speaker ada masa 21 hari sebagaimana yang diberitahu, jadi kita jangka minggu depan.
“Kelmarin kita dah diberi notis oleh Speaker untuk kita memberi jawapan bertulis dan insyallah minggu ini kita akan jawab dan hantar,” katanya kepada Malaysiakini di Parlimen, hari ini.
Enam ahli parlimen Bersatu itu sebelum ini digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Ini susulan tindakan mereka mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, Anwar Ibrahim.
Selain Azizi, lima ahli parlimen itu ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Ahli Parlimen Bersatu, Dr Ronald Kiandee Ronald yang juga naib presiden Bersatu dilapor mengemukakan notis kepada Johari bagi meminta supaya enam kerusi terbabit dikosongkan.
Isnin lalu Johari mengesahkan sudah menerima notis mengenai kekosongan kerusi berkenaan.
Johari berkata, keputusan mengenai kedudukan enam ahli parlimen terbabit - yang terhenti keahlian mereka melalui pindaan perlembagaan Bersatu - akan dimaklumkan dalam tempoh 21 hari.
Bersatu sebelum ini mengeluarkan surat arahan kepada semua wakil rakyatnya selaras pindaan ke atas fasal 10 Perlembagaan parti itu.
Pada 1 Jun lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata 25 ahli parlimen dan 58 Adun mereka menandatangani surat tersebut.
Minggu lalu Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan selepas menerima notis berkenaan.
Untuk rekod, DUN Nenggiri juga diwakili Mohd Azizi.





