Ahli Majlis Kerja Tertinggi(MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi secara terbuka mempersoalkan keperluan untuk menunggu sehingga tempoh tamat pada Mac tahun hadapan bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sambil menyifatkan ia sebagai langkah taktikal yang perlu demi kestabilan politik, katanya, penentuan tarikh pilihan raya adalah strategi politik yang lazim bertujuan untuk meraih kemenangan bagi membentuk kerajaan yang lebih kuat untuk membela rakyat.

"Apa tujuan pilihan raya diadakan pada tarikh tertentu? Sudah pasti itu adalah taktikal untuk menang. Sebab itu ada kalanya PRU atau PRN dibuat awal atau lambat. Pokoknya menang.
"Kalau menang itu membolehkan pula dibentuk kerajaan yang lebih stabil dan kuat maka apa salahnya PRN Johor diawalkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Puad, langkah itu juga membolehkan pentadbiran negeri memberikan tumpuan penuh kepada agenda pembangunan tanpa gangguan politik yang berpanjangan.
Elak naratif negatif pusat
Mengulas lanjut, Puad berkata Johor perlu mempertahankan "feel good factor" yang kini dirasai rakyat melalui inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang inklusif, termasuk pemberian RM500 kepada penjawat awam Persekutuan di negeri itu.
Dia berhujah bahawa Johor tidak seharusnya membiarkan pencapaian tersebut terjejas oleh "naratif negatif" yang melanda kerajaan pusat ketika ini.
"Johor sudah tentu tidak mahu naratif negatif di pusat terpalit merosakkan 'feel good factor' di negeri.

“Semua tahu PMX menjadi defensif bukan sahaja pasal dasar... tetapi juga peranang saudara PMX-Rafizi,” katanya merujuk perbalahan terbuka antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli yang berlanjutan hingga hari ini.
Sehubungan itu, kata Puad, Johor perlu mengadakan PRN lebih awal, samnil menafikan dakwaan sesetengah pihak tindakan itu akan membazirkan wang negara berbanding mengadakannya serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
“Sebab itu kalau Johor mengadakan PRN lebih awal bukan kerana tidak perihatin dengan beban rakyat tetapi tidak mahu terpalit dengan masalah orang lain. Biar ‘Johor cara Johor’ membela rakyat negerinya,” katanya lagi.





