Veteran politik P Ramasamy mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membandingkannya dengan ketua menteri baru Tamil Nadu Joseph Vijay yang mencetuskan fenomena meluas di kalangan diaspora India di seluruh dunia.
“Vijay merupakan seorang pelakon popular sebelum melangkah ke dunia sebenar politik.
“Namun Anwar adalah ‘pelakon’ dalam bentuk yang berbeza sebelum menjadi ahli politik,” sindir pengasas dan pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) itu.
Baca: ULASAN | Fenomena Vijay dan runtuhnya politik lama Tamil Nadu
'Thalapathi' (panglima) Vijay', salah seorang superstar layar perak India, baru-baru ini mencetuskan fenomena setelah menumbangkan rejim politik lama Tamil Nadu–negeri dengan 80 juta penduduk itu.

Dia mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu kelmarin selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), yang baru tiga tahun ditubuhkan, berjaya memperoleh sokongan majoriti.
Sementara itu, dalam catatan di Facebook, Ramasamy, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan bekas pemimpin DAP itu, berkata Vijay sebagai pelakon tidak pernah menipu peminatnya.
Namun, dakwanya, Anwar mengecewakan dan mengkhianati ramai penyokongnya selepas memasuki kerajaan.
Ramasamy bagaimanapun mengakui kebangkitan Vijay mempunyai persamaan dengan kemunculan Anwar sebagai perdana menteri, yang berkempen atas dasar reformasi, menamatkan penyalahgunaan kuasa, serta memastikan ketelusan kerajaan.

Malah, katanya, sebelum merampas Putrajaya, Anwar memikat hati masyarakat Tamil antaranya melalui tarian dan nyanyian lagu-lagu MG Ramachandran (MGR), pelakon yang juga terjun ke kancah politik.
“Kaum India percaya bahawa selepas berdekad-dekad berdepan pengabaian, diskriminasi dan penindasan, Anwar mampu membawa mereka keluar daripada penderitaan dan keputusasaan.
“Namun selepas Anwar mengambil alih kuasa, rakyat Malaysia semakin lama semakin tidak lagi dianggap sebagai ‘anak-anaknya’,” katanya.
Ramasamy antaranya membangkitkan isu berkaitan kontroversi pemindahan kuil di Kuala Lumpur serta kenyataannya supaya pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap kuil ‘haram’.
“Kaum India bukan lagi ‘anak-anak’ Anwar, dan beliau juga bukan ‘MGR’ negara ini,” katanya.
Sementara itu, dia turut mempersoalkan ucapan tahniah Anwar kepada Vijay yang disifatkannya sebagai seorang sahabat.
“Namun, saya sendiri tidak pasti bilakah Anwar mula menjalin persahabatan dengan Vijay,” katanya.





