Minggu lalu, Dr Akmal Saleh mendakwa Perlembagaan Melakalah yang menjadi penghalang peletakan jawatannya sebagai exco walaupun dia pernah mengikrarkan janji sebegitu.
Malaysiakini bagaimanapun membuktikan bahawa realiti adalah sebaliknya.
Semalam Ketua Pemuda Umno Malaysia itu berjanji sekali lagi untuk melepaskan jawatannya dalam kerajaan Melaka. Seperti selalu dia meletakkan syarat.
Kali ini Akmal – yang menegaskan bahawa dia “anak jantan – berkata surat peletakan jawatan tersebut akan dikemukakan semula jika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, turut berundur dari kabinet.
Menjawab desakan veteran DAP, Teng Chang Khim, Akmal berkata, dia sedia menerima cabaran dibuat bekas exco kanan Selangor dan bekas speaker DUN terbabit.
“Saya terima cabaran kamu (Teng) untuk saya letak jawatan sekali lagi, tapi dengan satu syarat.
“Syaratnya ialah minta Nga Kor Ming hantar sekali surat peletakan jawatan dengan saya,” katanya semasa berucap di mesyuarat Pemuda Umno Kapar di Selangor semalam.
“Ini anak jantan, Datuk,” tambahnya lagi.
Ucapan itu disambut sorakan dan tepukan para perwakilan.
Lontar cabaran buat PM juga
Pada 15 Julai lalu, Teng – yang juga seorang peguam – mempertikaikan tindakan Akmal berselindung di sebalik peruntukan perlembagaan Melaka untuk terus memegang jawatan exco.
Kata Teng, Perkara 7(6) Undang-Undang Negeri Melaka dengan jelas memperuntukkan bahawa mana-mana ahli exco boleh meletakkan jawatan mereka pada bila-bila masa pun.
Tambah Teng, tiada sebarang peruntukan dalam undang-undang berkenaan yang memberi kuasa kepada mana-mana pihak untuk menolak atau tidak membenarkan peletakan jawatan tersebut termasuk gabenor.
“Justeru, Akmal sama ada tidak faham undang-undang, salah tafsir undang-undang atau membohong.
“Kalau dia tidak faham atau salah tafsir undang-undang, maka sekarang setelah difahamkan, dia perlu kitar semula surat perletakan jawatan sebelum ini dan serah semula, jika dia masih anak jantan.
“Sebaliknya, dia perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana berbohong,” kata Teng.

Untuk rekod Undang-undang Tubuh Melaka tidak mempunyai sebarang peruntukan yang membolehkan Yang di-Pertua Negeri atau mana-mana pihak menghalang seorang exco daripada meletakkan jawatan.
Malah, perkara 7(6) undang-undang itu secara jelas memperuntukkan bahawa seseorang exco boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa.
Nga pula berkata dia akan meletakkan jawatan sebagai menteri jika BN menang besar dalam PRN Johor dan pencapaian itu membawa kepada pembebasan Najib Razak dari penjara.
Pengkritik bagaimanapun mengabaikan perkaitan Najib dan keputusan PRN Johor yang disebut Nga.

Dalam ucapan sama, Akmal, 38, juga mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memecat semua menteri dan timbalan menteri dari BN.
Cabaran Akmal itu dibuat ekoran gesaan Pemuda PH supaya menteri dan timbalan menteri dari BN meletakkan jawatan berikutan kerjasama parti itu dengan PN dalam PRN Negeri Sembilan.
“Saya cabar perdana menteri kita. Kalau menteri dan timbalan menteri dari Umno tak letak jawatan, kamu pecat mereka semua," katanya.
Semalam, Anwar menegaskan mana-mana menteri, timbalan menteri atau ketua agensi persekutuan yang berkempen dalam PRN Negeri Sembilan perlu meletakkan jawatan jika mahu terus menyerang rakan mereka dalam kerajaan perpaduan persekutuan.





