BICARA 1MDB l Bekas pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin disoal mengenai dakwaannya bahawa dia bukan proksi bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Putrajaya.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar menyoal balas saksi pembelaan itu hari ini berhubung keterangannya yang langsung tidak menyebut hubungannya dengan tertuduh.
Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib, pendakwaan merujuk kepada keterangan bertulis Lodin yang menjawab “Tidak, sama sekali tidak” berhubung soalan jika Najib pernah memintanya menjadi proksi dalam 1MDB dengan menjadi pengarah di syarikat tersebut pada 2009.

Kamal: Kamu tidak beritahu bagaimana kamu kenal Najib, kemudian tiba-tiba kamu kata di sini tentang (tidak menjadi) proksi.
Che Lodin: Saya terima pelantikan (sebagai pengarah) ini sebagai profesional, untuk mengatakan saya rapat dengan Najib, mungkin, mungkin tidak. Saya mengenali Najib kira-kira 45 tahun, tetapi kebanyakan interaksi dan hubungan saya dengan Najib lebih kepada asas tidak formal. Dia menteri pertahanan.
Kamal: Kamu tidak beritahu tentang sebarang hubungan (pada bahagian awal kenyataan saksi setebal 211 muka surat) dan kemudian (tiba-tiba disebut) proksi.
Che Lodin: Pada pendapat saya, proksi bermaksud 'Tolong jaga kepentingan saya, letak saham atas nama kamu atau ia adalah untuk saya', itulah yang saya maksudkan dengan proksi.
Semasa perbicaraan 1MDB sejak 2019, pihak pendakwaan mendakwa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) adalah proksi Najib apabila terlibat dalam dakwaan salah laku kewangan di firma pelaburan negara itu.

Mendiang timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram pernah mengibarakan Low sebagai "imej cermin" Najib yang tertuduh kata sebagai tidak benar dan mendakwa semua salah laku semata-mata didalangi oleh pelarian itu dan pasukan pengurusan 1MDB.
Che Lodin hari ini memberi keterangan bahawa dia mula mengenali Najib pertama kali semasa dia menjadi menteri besar Pahang pada awal 1980-an.
Menurut Che Lodin, dia pernah bekerja di bawah Najib ketika dirinya adalah adalah ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pengarah Boustead Holdings Berhad pada 1990-an.
Najib adalah menteri pertahanan dari 1990 hingga 1995, dan dari 1999 hingga 2008. LTAT ialah pemegang saham utama Boustead, sebuah konglomerat yang terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuk perladangan, perkhidmatan kewangan, perdagangan, farmaseutikal, pembangunan hartanah dan pembinaan kapal.

Lodin berundur daripada LTAT dan Boustead pada 2018, berikutan keputusan pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kemunculan pentadbiran Pakatan Harapan di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Kamal: Ada urusan rasmi antara kamu dan Najib?
Che Lodin: Sebagai ketua eksekutif LTAT dan pengarah urusan kumpulan Boustead, ya.
Che Lodin mengimbau bahawa sekitar 2009, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Investment Authority (TIA) ketika itu Shahrol Azral Ibrahim Halmi menawarkannya jawatan sebagai pengarah dana milik kerajaan ketika itu. Sepanjang tempoh perkhidmatan dari 2009 hingga 2016, Lodin kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pengerusi.
Pada penghujung tahun 2009, TIA menjadi syarikat milik penuh kerajaan persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Semasa pemeriksaan balas Kamal hari ini, Lodin berkata dia menerima tawaran oleh Shahrol kerana dia mendapati adalah menarik untuk menjadi sebahagian daripada firma pelaburan negara itu yang terlibat dalam aktiviti ekonomi utama, dan merupakan satu penghormatan untuk dirinya menerima tawaran tersebut ketika Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Kamal: Adakah kamu semak dengan Najib sama ada ini (tawaran daripada Shahrol) betul, seperti membuat panggilan telefon kepada Najib mengenai tawaran itu?
Che Lodin: Saya hormati seorang senior, terutama perdana menteri, saya tidak fikir saya ada nombor telefonnya, saya (tidak) mudah (boleh) akses kepadanya, saya perlu buat temu janji, dia seorang yang sibuk. Selepas bersama Shahrol, terdapat susulan dengan sepucuk surat daripada Najib (berhubung pelantikan Lodin sebagai pengarah 1MDB).
Kamal: Kamu kata adalah satu penghormatan untuk menerima tawaran itu, kamu sebut kamu menghormati perdana menteri, bolehkah saya katakan bahawa ia seperti arahan daripada perdana menteri untuk kamu jadi pengarah?
Che Lodin: Saya rasa saya boleh tolak (tawaran), tetapi saya terfikir bahawa ini adalah rancangan kerajaan untuk projek untuk syarikat ini (1MDB) dan untuk kebaikan negara dan rakyat, ia bukan arahan, terpulang kepada saya. Tiada paksaan di pihak saya untuk terima. Saya terima (tawaran) kerana saya boleh menyumbang berdasarkan pengalaman saya.
Pada 30 Okt tahun lepas, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan kira-kira 50 saksi.
Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi
Tertuduh berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku di 1MDB.
Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia telah diberi janji derma oleh mendiang Raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan antara mereka di Riyadh pada 2010.
Tertuduh telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berasingan membabitkan penyelwengan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Tujuan dana kekayaan negara adalah untuk memastikan pembangunan mampan jangka panjang sambil menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.
MOF Inc juga memiliki SRC sepenuhnya.





