Seorang wanita di Indonesia ditahan polis selepas disyaki membunuh anak saudaranya yang berusia 9 tahun dalam satu kejadian pada 18 Januari lalu.
Bunuh sebab nak barang kemas
Pada awalnya, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas selesai menghadiri kelas mengaji. Pada malam kejadian, pihak berkuasa bersama penduduk kampung telah melakukan operasi mencari mangsa dan suspek yang dikenali sebagai Arnita Mamonto turut menyertai operasi pencarian tersebut. Suspek sebelum itu membuat kenyataan palsu mendakwa anak saudaranya itu keluar bersama rakan-rakannya selepas singgah ke rumahnya.
Mangsa akhirnya ditemui dalam keadaan tidak bernyawa berdekatan rumahnya. Lebih meruntun hati apabila melihat keadaan mayat mangsa di mana kepala dan badannya terpisah. Barang perhiasan yang dipakai mangsa turut hilang.
Pihak polis mula menjalankan siasatan lanjut dengan mencari barang perhiasan mangsa di kedai-kedai emas dan akhirnya mereka menerima maklumat bahawa suspek merupakan individu yang menjual barang perhiasan mangsa. Susulan daripada itu, suspek telah ditahan polis dan dia mengaku melakukan pembunuhan itu kerana inginkan barang perhiasan emas yang dipakai mangsa.
Difahamkan, perancangan pembunuhan itu sudah dilakukan suspek tiga hari sebelum kejadian. Suspek berdepan hukuman mati atau penjara selama 12 tahun.