Korang pernah tak tiba-tiba dapat SMS promosi pelik, WhatsApp jual insurans, atau email “pelaburan” yang bunyinya macam scam?
Inilah antara masalah spam yang nak dibanteras melalui Cadangan Kerangka Peraturan bagi Mesej Elektronik Komersial Tidak Diingini (UCEM) di bawah Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia yang baharu
Menurut Pakar IT & Komputer Universiti Malaya, Dr. Saaidal Razalli Azzuhri, undang-undang ini akan meluaskan skop kawalan spam. Bukan lagi terhad pada email, tapi meliputi semua mesej digital tak diundang termasuk SMS, WhatsApp, Telegram dan media sosial.

Dr. Saaidal Razalli Azzuhri juga sempat berkongsi pendapat beliau dengan lebih mendalam.
Skop Lebih Luas, Syarat Lebih Ketat
Berbeza dengan undang-undang sebelum ini, kerangka baharu ini dijangka mewajibkan syarikat dan individu untuk:
- Dapatkan kebenaran jelas sebelum menghantar mesej
- Sediakan pilihan berhenti langgan (opt-out)
- Lebih telus dalam pengurusan data pengguna
Langkah ni penting supaya spam merentas semua platform dapat ditangani secara menyeluruh dan melindungi pengguna daripada pemasaran agresif atau penipuan.

Melindungi Hak Pengguna, Memudahkan Tindakan Terhadap Spammer
Pengguna dijangka akan ada cara yang lebih mudah untuk melaporkan atau menyekat spam. Dari sudut teknologi pula, penapisan pintar menggunakan AI, blocklist/whitelist yang dikemas kini dan sistem pengesanan automatik boleh tapis spam tanpa mengganggu mesej penting.
Cabaran & Penyesuaian Industri
Pakar tekankan keperluan ada garis panduan jelas dan proses rayuan supaya peraturan ini tidak disalahguna untuk sekat kebebasan berkomunikasi. Malaysia sudah ada infrastruktur digital dan tenaga mahir yang baik, tapi perlukan pelaburan berterusan serta kerjasama kerajaan, industri dan akademia untuk penguatkuasaan yang efektif.
Bagi pemain industri seperti e-dagang, telco dan bank, langkah ini mungkin bermakna operasi perlu diubah termasuklah perketatkan pengurusan data, tapis senarai pemasaran dan tingkatkan pengurusan persetujuan pengguna.
Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula, walaupun mungkin ada kos tambahan, ia mampu tingkatkan kepercayaan pelanggan yang sangat berharga untuk jangka panjang.
Adaptasi Dunia Digital Yang Sentiasa Berubah
Kerangka ini diharapkan cukup fleksibel untuk beradaptasi dengan teknologi masa depan seperti pemasaran berasaskan AI. Tapi untuk kekal relevan, ia perlu dikemas kini secara berkala agar terus melindungi pengguna tanpa menghalang inovasi.
Pendek kata, walaupun kerangka UCEM ni masih dalam cadangan, ia dilihat sebagai langkah penting untuk wujudkan ruang digital yang lebih selamat, bersih dan bertanggungjawab.
Kalau dilaksanakan dengan betul, bukan saja pengguna dapat bebas daripada gangguan spam, malah perniagaan pun dapat beroperasi dengan lebih beretika dan dipercayai.
Yang penting, kita sebagai pengguna pun kena bijak kawal data peribadi dan lapor bila jumpa mesej mencurigakan.
The post UCEM: Peraturan Baru SKMM Untuk Hapuskan Spam Digital – Apa Maknanya Untuk Korang? first appeared on OHBULAN!.





