Bagi korang yang suka travel, ni berita gembira untuk korang! Mulai 17 Oktober 2025, rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste sudah boleh menikmati perkhidmatan perayauan data (data roaming) yang lancar dan berpatutan.
Menurut kenyataan daripada Kementerian Komunikasi, langkah ini direalisasikan hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Autoridade Nacional de Comunicações (ANC) Timor-Leste).
Empat pengendali rangkaian utama Malaysia iaitu CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile telah mengaktifkan perkhidmatan ini bermula 17 Oktober, manakala YTL Communications pula menyusul pada 24 Oktober 2025.
Capaian lebih pantas dengan perayauan 4G

Perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste ini merupakan satu pencapaian besar berbanding rangkaian 2G dan 3G sebelum ini.
Dengan sambungan yang lebih pantas dan stabil, rakyat Malaysia kini boleh melayari internet, berhubung dengan keluarga atau bekerja dari luar negara dengan lebih mudah.
Capaian ini terhasil melalui kerjasama strategik antara pengendali rangkaian mudah alih Malaysia dengan penyedia telekomunikasi utama Timor-Leste iaitu Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom.
Sejajar dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025

Peningkatan ini bukan sekadar kemajuan teknologi semata-mata, tetapi juga melambangkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan digital serantau.
Ia selaras dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang memberi tumpuan kepada keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital.
Melalui inisiatif ini, ASEAN terus memperkukuh visi bersama untuk membentuk komuniti yang bersatu, berasaskan rakyat dan digerakkan oleh teknologi.
Timor-Leste disambut sebagai anggota ke-11 ASEAN

Lebih menarik, pencapaian ini turut bertepatan dengan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang menandakan langkah penting ke arah rantau yang lebih inklusif dan terhubung secara digital.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited untuk terus menyokong usaha memperkukuh integrasi serantau serta mempromosikan keterhubungan merentas sempadan, selaras dengan tema ‘Membentuk Masa Depan Digital Bersama Rakyat ASEAN.’
Pendek kata, kalau korang ada plan nak ke Timor-Leste lepas ni, tak perlu risau lagi pasal internet perlahan atau caj roaming mahal. On data sahaja, terus connect macam biasa!
The post Travel Ke Timor-Leste Tak Perlu Risau Internet Perlahan Lagi, Malaysia Dah Aktifkan Roaming 4G! first appeared on OHBULAN!.





