Masih ada kampung di Malaysia yang berdepan kesukaran asas seperti bekalan air bersih, jalan yang sempurna, dan capaian internet yang stabil. Hakikat ini mungkin mengejutkan, tetapi inilah realiti yang dialami sebahagian masyarakat luar bandar.
Bagi menangani perkara ini, kerajaan memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI, inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bagi mengimbangi pembangunan antara bandar dan desa.
Program ini bukan sekadar menambah baik infrastruktur, malah membuka peluang baru untuk meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.
Membina harapan baru buat komuniti luar bandar
Antara fokus utama ialah menaik taraf jalan, lampu jalan, longkang, bekalan air bersih serta capaian internet untuk masyarakat luar bandar.
Menariknya, program ini turut melibatkan pengurusan tertinggi kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah dan pegawai awam yang turun padang.
Kehadiran mereka membolehkan masalah sebenar di kampung dikenalpasti secara langsung dan tindakan dapat diambil dengan lebih cepat.

Kemudahan kampung lebih lengkap, hidup pun lebih selesa!
Projek yang dijalankan di bawah inisiatif ni memang bukan kecil-kecil ya. Selain naik taraf jalan, elektrik dan air bersih, ada juga kampung yang menerima dewan orang ramai baharu untuk aktiviti sosial dan majlis komuniti. Ada juga titi jambatan yang dibina lebih kukuh dan selamat demi keselamatan penduduk.
Untuk kawasan pedalaman yang sukar mendapat bekalan elektrik pula, sistem solar turut dipasang supaya penduduk dapat menikmati kemudahan asas yang sama seperti di bandar.
Malah, capaian internet turut diperluaskan kerana zaman sekarang internet dah jadi keperluan asas, sama penting macam bekalan air dan elektrik, penting untuk pendidikan, perniagaan, dan juga komunikasi harian.
Kerajaan menyediakan peruntukan besar! Dari 47 kampung ke 200 kampung

Pada tahun 2024, setiap kampung terlibat menerima peruntukan sebanyak RM2.5 juta, dengan keseluruhan membabitkan 47 kampung di seluruh negara.
Masuk tahun 2025 pula, kerajaan menambah lagi komitmen dengan menyediakan dana khas sebanyak RM200 juta untuk dimanfaatkan oleh 200 kampung terpilih. Angka besar ini jelas menunjukkan usaha kerajaan bukan sekadar janji, tapi benar-benar diterjemahkan melalui projek yang dilaksanakan.
Hasil daripada fasa pertama, seramai 83,000 penduduk sudah pun merasai manfaatnya. Tahun ini, apabila semua projek siap, angka itu dijangka melonjak sehingga 335,000 penduduk kampung yang bakal menikmati faedah sama.
Bayangkan betapa ramainya yang akhirnya boleh menikmati air bersih, jalan selesa dan internet lancar.
Pemantauan rapi dan projek mengikut jadual
Bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan, pemantauan dibuat secara bulanan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri melalui sistem Dashboard Kampung Angkat MADANI.
Sistem ini secara tidak langsung dapat melaporkan segala aktiviti pelaksanaan dan perbelanjaan oleh semua pemilik kampung angkat. Mereka sendiri turut dapat menyemak dan mengemaskini laporan perkembangan projek dari semasa ke semasa.
Jadi, penduduk tak perlu risau kalau projek tertangguh sebab pemantauan dibuat dengan ketat.

Lebih dari sekadar infrastruktur
Selain menaik taraf kemudahan asas, Kampung Angkat MADANI juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya pembangunan inklusif, di samping menggalakkan kerjasama antara kerajaan, GLC, NGO dan sektor swasta.
Ia juga menjadi rujukan dan penanda aras baharu kepada cara terbaik menyelesaikan isu infrastruktur, agar kejayaan program ini boleh dijadikan contoh untuk inisiatif pembangunan lain di seluruh negara.
Tiada siapa tertinggal dalam arus kemajuan
Program Kampung Angkat MADANI menjadi bukti kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan dinikmati secara inklusif.
Inisiatif ini sekaligus menunjukkan bahawa tiada siapa yang akan ditinggalkan di belakang dalam perjalanan menuju Malaysia MADANI.
Jom sama-sama sokong Program Kampung Angkat MADANI!
Dengan usaha bersama kerajaan, agensi dan masyarakat, kita boleh pastikan lebih ramai penduduk kampung menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera!
The post Tak Ramai Tahu, Ini Antara Cara Kerajaan Turun Padang Bantu Penduduk Kampung first appeared on OHBULAN!.





