Seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam insiden tikaman membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor, pagi Isnin, telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Artikel Berkaitan: Polis Kongsi Keadaan Terkini Mangsa Selepas Dit*kam Di Sebuah Sekolah Di Banting
Suspek ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kejadian dipercayai berlaku antara pukul 9.30 hingga 10 pagi sebelum pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
Menurut Shazeli, mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Setakat ini saya mengesahkan kejadian tersebut berlaku awal pagi tadi, dianggarkan antara jam 9.30 hingga 10 pagi.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan. Keadaan mangsa stabil di hospital dan suspek kini berada dalam tahanan polis.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata pihak polis sedang menyiasat motif sebenar kejadian selain mengumpul semua bukti dan keterangan berkaitan.
Shazeli turut memberi jaminan bahawa keadaan di sekolah berkenaan kini berada dalam keadaan terkawal dan meminta ibu bapa serta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
Kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Keadaan di sekolah adalah baik dan terkawal. Ibu bapa serta masyarakat tidak perlu bimbang. Setakat ini, hanya seorang mangsa dikenal pasti.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi turut mengesahkan insiden berkenaan yang melibatkan seorang pelajar perempuan dipercayai ditikam oleh seorang wanita di kawasan sekolah.
Mohd Akmalrizal memaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media rasmi bagi menjelaskan perkembangan lanjut siasatan.
Kejadian memang berlaku. Kenyataan media awal akan dikeluarkan bagi pengesahan dan keadaan mangsa adalah stabil.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan suasana cemas di sebuah sekolah di Banting apabila seorang wanita berpakaian serba hitam dilihat memegang sebilah pisau sambil berjalan di dalam kawasan sekolah.
Sumber: Buletin TV3
The post Suspek Didakwa Tikam Pelajar Di Sekolah Banting Ditahan, Polis Mohon Ibu Bapa & Masyarakat Jangan Buat Spekulasi first appeared on OHBULAN!.





