Walaupun membesar dalam keluarga seni, penyanyi baharu, Auddra Zulkifli mengakui dia tidak mengenali ramai selebriti tempatan, terutama dalam kalangan artis senior sebelum melangkah ke dunia hiburan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Memang Nak Cari Duit, Cari Rezeki Untuk Ibu Bapa’ – Auddra
Artikel Berkaitan: Sharifah Shahirah Akui Tertekan Tapi Tak Halang Audra Aktif Di Media Sosial – ‘Saya Kena Faham Ini Cara Mereka’
Tak kenal ramai artis

Auddra atau mesra disapa Odda berkata, dia tidak kisah sekiranya ada pihak melabelkan dirinya sebagai generasi muda yang tidak mengenali artis lama kerana percaya ramai anak muda seusianya juga begitu.
Menurut Oda, dia pernah mendengar nama beberapa selebriti terkenal seperti pelakon Kamal Adli, namun tidak begitu mengenali wajah mahupun perjalanan kerjaya mereka.
Saya tak kisah kalau orang nak cakap macam itu sebab saya rasa bukan saya seorang saja. Saya gen z dan mesti ramai lagi gen z yang tak kenal semua artis senior.
Sebelum jadi artis, saya pernah dengar nama Kamal Adli, cuma tak pernah jumpa dan tak berapa familiar dengan wajahnya.
Mak saya selalu membebel, cakap ‘handsomenya Kamal Adli ni’. Bila dah jumpa abang Kamal Adli, barulah saya tahu dia seorang yang sangat baik.
Artis-artis yang saya kenal kebanyakannya kawan-kawan papa dan mama, jadi memang saya familiar dengar nama mereka.
Audra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang berlangsung di Balai Berita, Media Prima Berhad, Bangsar, pada Khamis.
Bercerita lanjut, anak kepada pengacara Sharifah Shahirah itu mengakui sejak bergelar anak seni, pengetahuannya mengenai industri hiburan semakin bertambah apabila sering bertemu dan bekerjasama dengan ramai penggiat seni.
Malah, dia turut mendedahkan sebelum ini tidak mengenali penyanyi Ameng Spring dan Liza Hanim sehingga berpeluang bertemu mereka sendiri.
Sekarang bila dah jadi artis, saya lebih kenal ramai orang. Dulu Ameng Spring, Liza Hanim pun saya tak kenal. Bila jumpa baru saya tahu, ‘oh, inilah orangnya’.
Mama saya memang selalu pesan, ‘Oda kena kenal artis ini, kena kenal artis itu’. Dalam kereta pun mama selalu ‘brief’ saya. Kalau saya nak berlakon dengan siapa-siapa, saya akan tanya mama dulu.
Tambah Oda, dia tidak mahu memalukan nama keluarganya, apatah lagi hadir daripada keluarga seni yang dikenali ramai.
Saya tak nak memalukan nama mama saya. Jadi walaupun saya tak tahu, saya kena ambil tahu juga. Pengurus saya pun banyak membantu.
Contohnya baru saya tahu abang Kamal Adli pernah berlakon dengan ibu saudara saya, Sharifah Sakinah. Saya terus cari dan buat sedikit penyelidikan. Dulu saya hanya kenal Sharifah Sakinah je, dia idola saya.
Dalam perkembangan lain, Audra merupakan salah seorang artis undangan dalam siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang dihoskan oleh Kamal Adli dan akan menemui penonton pada 29 Julai di TV3.
Selain itu, Audra juga berkongsi perkembangan kerjaya seninya dengan memaklumkan single terbaharunya berjudul Gelanggang Rasa akan dilancarkan dalam masa terdekat.
The post ‘Saya Gen Z, Sebelum Jadi Artis Tak Kenal Siapa Kamal Adli & Ameng Spring’ – Auddra first appeared on OHBULAN!.





