Tersentuh dengan kisah anggota polis yang terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan akibat kekangan kewangan, penyanyi dan usahawan, Mila Jirin tampil dengan inisiatif untuk membantu mereka melangsungkan hari bahagia tanpa terbeban isu bajet.
Artikel Berkaitan: ‘Keluarga Saya Daif Dahulu, Makan Nasi Dengan Garam Itu Biasa’ – Mila Jirin Memorikan Kisah Peribadi Dalam Cerpen Berjudul ‘KAKAK’
Kahwin tanpa stress kewangan

Mila atau nama lengkap Norsyarmila Jirin, 38, berkata, ramai pasangan muda terutama dalam kalangan anggota polis berdepan dilema antara mahu mengadakan majlis yang sempurna atau mengikut kemampuan kewangan sebenar.
Situasi itu mendorongnya menawarkan pakej perkahwinan mampu milik di bawah syarikatnya, Bizmilla Wedding Centre menerusi skim pembiayaan bersama Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).
Ramai saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan kerana bajet tidak mencukupi. Jadi saya mahu Bizmilla menjadi sebahagian daripada penyelesaian supaya mereka boleh melangsungkan majlis impian tanpa stres kewangan.
Ini bukan strategi komersial semata-mata, tetapi misi sosial untuk membantu mereka yang banyak berkorban demi keselamatan negara.
Tambah Mila, pakej yang ditawarkan direka bagi memastikan pasangan muda dapat meraikan hari bersejarah dalam suasana eksklusif dan bertaraf lima bintang, namun dengan kos yang berpatutan.
Pakej ini membolehkan mereka menikmati majlis yang indah tanpa perlu menggadaikan kestabilan kewangan. Kami mahu mereka fokus kepada makna sebenar perkahwinan, bukan tekanan membayar kos tinggi.
Kerjasama dengan KPDRM

Bercerita lanjut, pelantun lagu Persis Mutiara itu memilih KPDRM sebagai rakan strategik kerana nilai kepercayaan, integriti dan khidmat bakti anggota polis yang wajar dihargai.
Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang dinaungi ribuan anggota polis, kami tahu ini bukan sekadar urusan perniagaan, tapi tanda penghargaan.
Sistem pembiayaan juga dibangunkan dengan teliti agar setiap transaksi dibuat secara telus, profesional dan patuh syariah.
Saya mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, insya-Allah rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri.
Pada 2 Oktober lalu, Bizmilla Wedding Centre dan KPDRM memeterai kerjasama rasmi di Bizmilla Grand Palace Ballroom, Subang Jaya.
Menerusi kolaborasi ini, anggota KPDRM boleh menikmati pakej perkahwinan eksklusif dengan kemudahan bayaran ansuran melalui potongan koperasi bulanan serendah RM163.20 sebulan yang merangkumi dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin serta fotografi dan videografi.
The post ‘Ramai Tangguh Kahwin Kerana Bajet’ – Mila Jirin Ringankan Beban Anggota Polis Rai Hari Bahagia Tanpa Stres Kewangan first appeared on OHBULAN!.





