Setiap kali musim Anugerah Juara Lagu (AJL) semakin menghampiri, satu persoalan yang sama pasti akan muncul semula dalam kalangan peminat muzik. Ada yang bertanya sama ada AJL masih lagi mempunyai pengaruh seperti dahulu, manakala ada juga yang berpendapat pertandingan itu sudah tidak lagi mencerminkan selera pendengar muzik masa kini. Tidak kurang juga yang beranggapan kemenangan di AJL sudah tidak sepenting angka penstriman, jumlah tontonan di TikTok atau kedudukan dalam carta digital.
Persoalan itu sebenarnya menarik untuk dibincangkan. Namun, mungkin selama ini kita terlalu sibuk bertanya sama ada AJL masih relevan sehingga terlupa untuk bertanya satu soalan yang jauh lebih penting. Adakah benar AJL yang semakin hilang relevan, ataupun sebenarnya cara kita menikmati muzik yang sudah berubah sepenuhnya?
ARTIKEL BERKAITAN: Ikon AJL40 – Hael Husaini Pernah Hampir Putus Asa, Faizal Tahir Anggap Anugerah Satu Bonus
ARTIKEL BERKAITAN: AJL40 – TV3 Tak Halang Penonton Melaram, Namun Pakaian Perlu Sopan
Lanskap muzik sudah berubah
AJL sudah berdiri selama 40 edisi. Jika kita kembali kepada era 1980-an sehingga awal 2000-an, perjalanan sesebuah lagu sangat berbeza berbanding hari ini. Lagu dimainkan di radio selama berbulan-bulan, video muzik ditunggu di televisyen, kemudian lagu yang benar-benar bertahan akan sampai ke pentas AJL sebagai kemuncak kepada perjalanan tersebut. Ketika itu, AJL bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi simbol sesebuah karya sudah berjaya menawan hati pendengar sepanjang tahun.
Hari ini, landskap itu berubah hampir sepenuhnya. Sebuah lagu boleh menjadi fenomena hanya dalam tempoh beberapa hari hasil algoritma media sosial. Minggu depan muncul pula lagu lain, kemudian trend baharu mengambil alih perhatian. Pendengar kini tidak lagi menunggu radio memperkenalkan lagu baharu kerana semuanya berada di hujung jari. Dalam dunia yang bergerak sepantas itu, sudah tentu cara kita mengukur kejayaan sesebuah lagu juga berubah.

Perubahan menjadikan AJL tidak lagi penting?
Namun, adakah perubahan itu secara automatik menjadikan AJL tidak lagi penting?
Saya tidak fikir begitu.
Sebaliknya, saya melihat AJL dan platform digital sebenarnya memainkan dua peranan yang sangat berbeza. TikTok boleh menjadikan lagu itu popular. Spotify boleh menunjukkan berapa ramai yang mendengarnya. YouTube pula merekodkan jumlah tontonan. Tetapi AJL masih menjadi satu-satunya pentas yang menilai lagu sebagai sebuah karya seni, bukan sekadar produk yang berjaya menguasai algoritma.

Itulah sebabnya kita masih mampu mengingati banyak persembahan AJL walaupun bertahun-tahun sudah berlalu. Kita mungkin sudah lupa lagu apa yang pernah menjadi nombor satu di carta penstriman lima tahun lalu, tetapi kita masih mengingati persembahan ikonik AJL.
Kehadiran Sudirman dengan pemetik api, Ramlah Ram yang muncul dengan gaun berbentuk hati, debut Siti Nurhaliza dengan busana pengantin serba putih, sekampung penari yang dibawa oleh Noraniza Idris, persembahan Romancinta oleh Caliph Busker yang membuatkan seluruh arena bangun memberikan standing ovation dan banyak lagi persembahan yang takkan dilupakan. Apa yang kekal dalam ingatan bukan semata-mata lagunya, tetapi momen yang dicipta di atas pentas itu.
AJL terus berevolusi
Pada masa sama, kita juga tidak boleh menafikan bahawa AJL perlu terus berevolusi. Dunia muzik hari ini jauh lebih pantas, lebih kompetitif dan lebih dipengaruhi oleh budaya digital. Generasi muda mungkin tidak mempunyai hubungan emosi yang sama dengan AJL seperti generasi ibu bapa mereka. Maka cabaran terbesar AJL bukanlah mempertahankan tradisi semata-mata, tetapi mencari keseimbangan antara warisan yang dibina selama empat dekad dengan kehendak penonton masa kini.

Namun dalam keghairahan kita membincangkan soal relevan atau tidak, ada satu perkara yang sering terlepas pandang. AJL tidak pernah diwujudkan untuk menentukan siapa artis paling popular. AJL juga bukan pertandingan untuk mencari lagu paling tular di media sosial. Sejak awal lagi, pertandingan ini diwujudkan bagi mengangkat kekuatan melodi, lirik, susunan muzik dan persembahan secara langsung. Nilai-nilai itu masih penting hari ini, walaupun cara orang mendengar muzik sudah berubah.
Mungkin sebab itulah saya merasakan persoalan “AJL masih relevan atau tidak?” sebenarnya tidak begitu tepat. Soalan yang lebih sesuai ialah sama ada kita masih menghargai karya dengan cara yang sama seperti dahulu. Jika ukuran kita terhadap muzik hari ini hanya berdasarkan jumlah tontonan dan angka penstriman, sudah tentu AJL akan kelihatan berbeza. Tetapi jika kita masih percaya bahawa sesebuah lagu mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar menjadi trend selama dua minggu, maka pentas seperti AJL akan sentiasa mempunyai tempatnya.

Akhirnya, relevan bukan bermaksud kekal sama selama-lamanya. Relevan ialah kemampuan untuk terus berkembang tanpa kehilangan identiti. Dan mungkin itulah cabaran sebenar AJL hari ini. Bukan untuk bersaing dengan TikTok, Spotify atau YouTube, tetapi untuk terus menjadi pentas yang mengingatkan kita bahawa di sebalik deretan lagu-lagu yang hebat, ada sebuah karya yang layak dijulang sebagai juara.
Dihoskan oleh Naz Rahman dan Sissy Imann, jangan lupa saksikan 10 lagu terbaik berentap di AJL 40 pada Sabtu, 15 Ogos ini di TV3 dan strim secara langsung di Tonton.
The post Bukan AJL Yang Hilang Relevan, Mungkin Cara Kita Menikmati Muzik Yang Sudah Berubah first appeared on OHBULAN!.





