Nak jadi pelakon, model, penyanyi atau pengacara? Hari ini, peluang masuk industri seni boleh sahaja muncul melalui Instagram, TikTok, WhatsApp atau terus ke DM. Tetapi jangan terlalu cepat teruja.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,537 kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan melibatkan kerugian RM31.8 juta direkodkan dari Januari hingga Mac 2026. PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu tawaran sebelum memberikan maklumat peribadi atau membuat bayaran.
Jadi sebelum terus berkata setuju, ini lima red flag yang patut diperhatikan.
Artikel Berkaitan: Disangka ‘Scam’ Kerana Cari Dana, Ajak Shiro Tak Mahu Orang Terus Menghukum
Artikel Berkaitan: Ceddy Ang Nyaris Jadi Mangsa Scammer, Transaksi Cecah USD1,029 – ‘Tolong Jangan Susahkan Hidup Orang’
1. Belum Dapat Job, Tapi Dah Kena Bayar
PDRM menyenaraikan permintaan bayaran pendahuluan seperti yuran latihan, deposit atau permit sebagai antara ciri penipuan tawaran pekerjaan.
Pada September 2026, seorang lelaki berusia 54 tahun kerugian RM39,000 selepas menerima tawaran jawatan sebagai pengurus.
Menurut polis, mangsa diminta membuat beberapa bayaran awal yang kononnya akan dipulangkan ketika sesi temu duga. Mangsa melakukan tiga transaksi sebelum mula curiga apabila diminta membayar lagi.
Kalau belum mula bekerja tetapi anda pula yang perlu keluarkan wang, semak dahulu.
2. Tawaran Terlalu Lumayan Sampai Sukar Dipercayai
Tawaran lumayan tidak semestinya scam. Tetapi apabila datang bersama proses yang kabur atau permintaan wang, ia patut diperiksa dengan lebih teliti.
Contoh dalam industri hiburan Malaysia berlaku kepada penyanyi Winnie K mendedahkan pada Oktober 2025 dia kerugian kira kira RM380,000 selepas menerima tawaran menjadi duta eksklusif sebuah projek hartanah mewah.
Menurut Winnie, seorang lelaki yang mendakwa dirinya ‘Datuk’ menawarkan kontrak antara RM800,000 hingga RM1 juta untuk setahun.
Lelaki itu kemudian meminta beliau memindahkan wang dengan alasan tidak dapat mengakses dananya di Malaysia. Winnie berkata beliau membuat beberapa transaksi sebelum individu tersebut tidak lagi dapat dihubungi dan laporan polis dibuat.
Winnie turut berkata dia berkongsi pengalamannya bagi mengingatkan artis lain supaya berhati hati ketika menerima tawaran kerja.
3. Guna Nama Syarikat Besar, Tapi Individu Tak Boleh Disahkan
Logo nampak betul. Nama syarikat memang terkenal. Gambar profil pun nampak profesional. Tetapi semua itu belum membuktikan individu tersebut benar benar mewakili syarikat berkenaan.
Pada April 2014, Harian Metro melaporkan sepasang individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka atas masing masing 20 pertuduhan menipu membabitkan tawaran menjadi pelakon tambahan dan menyamar sebagai kakitangan Media Prima.
Sebab itu kalau seseorang mendakwa mewakili sebuah production house, jangan percaya berdasarkan logo atau profil WhatsApp sahaja. Hubungi syarikat tersebut melalui saluran rasmi dan sahkan nama individu serta projek yang ditawarkan.
4. Baru Kenal Dah Minta OTP, PIN Atau Password Bank
Nombor akaun mungkin diperlukan apabila produksi mahu membayar talent fee. Tetapi PIN, OTP dan kata laluan online banking tidak diperlukan untuk memasukkan bayaran ke akaun anda.
Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran mengenai tawaran pekerjaan lumayan yang meminta pemohon menyerahkan kad ATM atau butiran seperti PIN, OTP dan password perbankan dalam talian. Akaun mangsa juga boleh disalahgunakan sebagai akaun keldai.
5. Semua Benda Kena Cepat: ‘Transfer Sekarang!’
Memang ada produksi yang mencari talent pada saat akhir. Jadi ‘urgent’ sahaja bukan bukti scam. Tetapi ia menjadi red flag apabila tekanan itu datang bersama permintaan wang, tawaran pendapatan terlalu tinggi atau komunikasi daripada nombor tidak dikenali.
PDRM menjelaskan antara ciri job scam ialah janji pendapatan tinggi untuk tugasan mudah, bayaran pendahuluan dan komunikasi melalui WhatsApp atau Telegram daripada nombor tidak dikenali.
Teruja Boleh, Tapi Semak Dulu
Tidak semua casting melalui WhatsApp, Instagram atau DM adalah scam. Industri hiburan memang banyak bergerak melalui networking dan komunikasi secara terus.
Tetapi sebelum menerima sesuatu tawaran, semak siapa yang menghubungi anda, syarikat yang diwakili, projek yang ditawarkan dan kenapa anda perlu membuat pembayaran.
Kes tawaran pelakon tambahan menggunakan nama Media Prima menunjukkan nama syarikat besar juga boleh digunakan untuk meyakinkan mangsa. Kes Winnie K pula menunjukkan artis yang sudah berada dalam industri juga boleh berdepan tawaran yang akhirnya membawa kerugian.
Jika anda menerima nombor akaun mencurigakan, semakan boleh dibuat melalui portal rasmi Semak Mule PDRM. Jika sudah menjadi mangsa penipuan kewangan, PDRM menasihatkan supaya segera menghubungi NSRC di talian 997.
Sumber: PDRM, Bernama, The Star, Harian Metro,
The post Nak Masuk Industri Seni Pun Boleh Kena Scam? 5 ‘Red Flag’ Tawaran Kerja Hiburan Yang Ramai Tak Sedar first appeared on OHBULAN!.





