Dulu, tugas peminat mungkin sekadar membeli album, mendengar lagu dan datang ke konsert. Hari ini, kedudukan mereka jauh lebih besar. Mereka boleh menghidupkan semula lagu lama di TikTok, meminta versi baharu sebuah karya, memberi kritikan secara terbuka, membina komuniti fandom malah mempengaruhi perbualan mengenai cara sesebuah acara dikendalikan.
Sebab itu expectation terhadap artis juga berubah. Peminat hari ini turut melihat bagaimana artis mendengar mereka, menerima kritikan, meraikan kelompok audiens berbeza dan menghargai sokongan yang diberikan.
Jadi, adakah peminat semakin sukar dipuaskan? Atau mereka cuma semakin sedar bahawa suara mereka juga mempunyai kuasa dalam industri hiburan?
Artikel Berkaitan: Selebriti Dah Tak Boleh Jadi Misteri? 6 Sebab Artis Seolah-Olah Perlu Berkongsi Kehidupan Peribadi Dengan Peminat
Artikel Berkaitan: Peminat Jadi Benteng Atau Beban? Bila Fanbase Boleh Naikkan, Tapi Juga ‘Rosakkan’ Imej Artis
1. Peminat Tak Mahu Sekadar Mendengar, Mereka Mahu Suara Mereka Turut Didengar
Dahulu, artis dan syarikat rakaman banyak menentukan apa yang akan diterbitkan seterusnya. Sekarang, respons peminat sendiri boleh memberi petunjuk kepada artis tentang karya yang masih mempunyai permintaan.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada penyanyi Nera.Lagu Hatimu Milikku yang sudah berusia kira-kira sedekad kembali mendapat perhatian di TikTok. Menurut Bernama, Nera terkejut apabila ramai mula mencarinya dan meminta supaya lagu tersebut dirakam semula dalam versi baharu.
Permintaan itu akhirnya membuatkan Nera merancang untuk merakam semula Hatimu Milikku sebagai penghargaan kepada peminat yang masih menyokongnya.
Menariknya, ini menunjukkan bagaimana kuasa pendengar sudah berubah dan apabila artis mendengar permintaan itu, peminat pula mendapat rasa sokongan mereka memang diperhatikan.
Dalam era media sosial, hubungan artis-peminat semakin menyerupai dialog dua hala, bukan komunikasi sehala.
Sumber: Bernama
2. Peminat Mula Mahukan Hiburan Yang Boleh Dinikmati Lebih Ramai Orang
Ekspektasi penonton juga semakin berkembang dari sudut inclusivity. Sesebuah karya bukan lagi dinilai hanya kerana catchy atau mempunyai koreografi menarik.
Kadangkala cara karya itu membuka ruang kepada kelompok lain turut mendapat perhatian.
Penyanyi, Mimifly memberikan contoh menarik melalui Angkat. Penyanyi itu memasukkan bahasa isyarat ke dalam koreografi muzik videonya selepas mendapat idea secara spontan apabila melihat pelajar kelas yoganya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.
Apa yang tidak dijangka, bahagian rap sekitar 12 saat bersama gerakan tersebut kemudian tular dan mencetuskan #AngkatSLChallenge di TikTok. Mimifly turut menjelaskan dia mahu lagu itu dapat dinikmati bersama oleh komuniti kurang pendengaran, bukan sekadar menjadikan bahasa isyarat sebagai elemen visual.
Sumber: Bernama
3. Bukan Karya Saja Dinilai, Cara Artis Terima Kritikan Pun Diperhatikan
Media sosial menjadikan setiap persembahan hampir mustahil terlepas daripada penilaian. Selesai sahaja konsert, komen sudah muncul. Ada yang memuji. Ada yang memberikan teguran dan sudah tentu ada juga yang sengaja mahu mencetuskan provokasi.
Sebab itu peminat hari ini bukan sekadar memerhatikan kritikannya. Mereka turut melihat bagaimana artis bertindak balas. Selepas konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menerima pelbagai perbincangan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih melihat kritikan sebagai sebahagian daripada perjalanan kerjayanya.
View this post on Instagram
Menurut laporan The Star yang memetik Berita Harian, Siti berpandangan apabila orang masih bercakap tentang nyanyian atau persembahannya, ia menunjukkan mereka masih mengambil berat. Pada masa sama, beliau memilih untuk tidak memberi perhatian kepada komen yang sekadar bersifat provokatif.
Peminat bukan mengharapkan artis bersetuju dengan semua komen. Tetapi mereka boleh menilai sama ada seseorang artis boleh membezakan kritikan, teguran dan kecaman tanpa setiap perkara bertukar menjadi konflik.
Dalam dunia di mana satu balasan di Threads pun boleh menjadi berita, cara menerima feedback akhirnya menjadi sebahagian daripada profesionalisme seseorang selebriti.
Sumber: The Star
4. Peminat Mahu Rasa Mereka Sebahagian Daripada Perjalanan Artis
Ada perbezaan antara seseorang yang mendengar lagu dengan seseorang yang mengikuti kerjaya artis selama bertahun-tahun. Golongan kedua selalunya bukan hanya mahu menjadi pengikut. Mereka membina hubungan emosi dengan perjalanan artis tersebut.
Kisah penyanyi, Atilia Haron mungkin antara contoh paling jelas. Menjelang Atilia Haron In Concert pada September 2026, sepasang suami isteri yang sudah lama mengikuti persembahannya pada asalnya mahu membeli tujuh tiket. Sebaliknya, mereka memberikan RM20,000 sebagai sokongan kepada penganjuran konsert berkenaan.
Atilia mengakui sangat tersentuh kerana pasangan tersebut sudah mengikuti persembahannya sejak awal, malah si isteri yang menggunakan tongkat masih berusaha hadir ke acara-acaranya. Sokongan itu juga cukup bermakna kerana konsert terdahulu pernah dibiayai Atilia menggunakan simpanannya sendiri selepas tajaan tidak menjadi kenyataan.






