Pelajar tahun satu Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz membuktikan dirinya mampu mengimbangi tuntutan akademik dan cabaran sukan bertaraf dunia.
Artikel Berkaitan: ‘Memang Agak Gelabah & Gementar’ – Alif Satar Kongsi Tips Kecergasan Sertai Ironman Langkawi
Ahmad Dani ipta sejarah

Ahmad Dani yang juga peserta termuda dari Malaysia, berjaya menamatkan Kejohanan Dunia Ironman 70.3 2026 di Nice, Perancis dengan catatan masa 6 jam 44 minit 21 saat.
Lebih membanggakan, dia merupakan pelajar universiti awam pertama dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan dunia tersebut sebelum menyempurnakan cabaran bersama tujuh lagi peserta negara.
Kejohanan yang berlangsung di salah satu litar perlumbaan paling mencabar di dunia itu menguji ketahanan peserta menerusi tiga disiplin iaitu renang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal 90km dan larian sejauh 21km.
Menurut Ahmad Dani, segmen berbasikal menjadi antara cabaran paling getir apabila peserta perlu mengharungi laluan berbukit dengan pendakian yang curam.
Bagi acara larian pula, walaupun laluannya lebih landai, Ahmad Dani mengakui cabaran tetap dirasai kerana dilakukan selepas otot kaki bekerja keras sepanjang segmen berbasikal.
Ironman 70.3 2026 di Nice merupakan penyertaan ketiganya dalam kejohanan berkenaan.
Pada tahun lalu, Ahmad Dani berjaya menduduki kelompok 10 terbaik bagi kategori umur 18 hingga 24 tahun ketika menyertai Ironman 70.3 Langkawi 2025.
Pencapaian itu sekali gus melayakkannya membawa cabaran ke peringkat dunia pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ahmad Dani turut membuktikan bahawa kesibukan sebagai pelajar jurusan undang-undang bukan penghalang untuknya aktif dalam sukan berintensiti tinggi.
Malah, dia turut menerima Anugerah Dekan bagi semester ini, sekali gus menunjukkan keupayaannya mengurus masa antara pengajian dan latihan sukan.
Pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa komitmen terhadap akademik dan minat dalam sukan boleh bergerak seiring sekiranya diuruskan dengan baik.
The post Pelajar UKM Cipta Sejarah, Tamatkan Ironman 70.3 Dunia Dengan Catatan Masa 6 Jam 44 Minit first appeared on OHBULAN!.





