Anak kedua kepada pelakon, Amyza Aznan iaitu Adrian Adam mengakui reda dengan pemergian abang tercinta, Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir akibat kanser paru-paru.
Artikel Berkaitan: Anak Sulung Amyza Aznan Meninggal Dunia
Reda dengan pemergian

Ketika ditemui , Adrian, 18, berkata dia perlu cekal dan menjadi sumber kekuatan buat ibu, bapa serta adik bongsunya selepas ini.
Saya reda dengan pemergian abang saya, Andre Mikhail. Saya anggap semua ini sebagai satu ujian dan juga takdir yang telah ditetapkan.
Saya kena reda. Saya cuma berharap Allah merahmati abang saya, melindunginya daripada azab kubur dan azab api neraka.
Saya perlu kuat demi keluarga, terutama ibu dan ayah, serta adik saya. Sekarang, saya adalah abang yang sulung.
Adrian berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Selasa.
Berkongsi momen terakhir bersama arwah, Adrian memaklumkan mereka sempat berbual berdua, namun keadaan abangnya ketika itu agak lemah dan kurang memberi respons.
Saat-saat terakhir itu saya ada bersamanya. Waktu itu dia seperti di awang-awangan, macam mengigau dan mamai.
Bila kami bercakap, kadang-kadang tak berapa faham apa yang dia katakan. Saya ada bertanya, ‘Nak makan tak?’ Dia jawab, ‘Tak nak. Mengantuk, nak tidur.’ Saya kata, ‘Tak apalah, baringlah, tidur.’
Keesokan harinya dia sedar semula, tetapi ketika itu saya sudah tiada di situ. Orang terakhir yang sempat bercakap dengannya ialah nenek saya. Selepas itu dia tertidur kembali dan kemudian berada dalam keadaan nazak.
Dia meninggal dunia sehari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-20, iaitu pada 22 Februari.
Dalam pada itu, Adrian yang turut disahkan menghidap kanser berkata arwah sempat memberikan kata-kata semangat kepadanya untuk terus kuat meneruskan kehidupan.
Dia beri semangat sebab kami sepatutnya akan berada di wad yang sama nanti. Tapi Allah lebih menyayanginya dan menjemputnya dahulu. Tak apa, reda.
Terdahulu, Allahyarham Andre Mikhail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada jam 10.40 pagi, selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah, Keramat AU3, Kuala Lumpur.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam Isnin akibat kanser paru-paru.
The post Pejuang Sakit Kanser, Adrian Adam Bawa Semangat Arwah Abang – ‘Dia Meninggal Sehari Selepas Ulang Tahun Kelahiran Ke-20’ first appeared on OHBULAN!.





