Pelakon, Nam Ron, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin akan beraksi dalam teater ‘Persiapan Seorang Aktor’ selama empat hari bermula 17 Julai ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nam Ron Ada ‘Stage Fright’, Tak Suka Berada Di Atas Pentas
Persiapan Seorang Aktor

Naskhah arahan Syahrul Musa ini menceritakan tentang perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawakan.
Sedikit mengenai pementasan ini, ia bukan sahaja menyelongkar kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah untuk melangkaui kehebatan legenda-legenda seni pentas dunia.
Untuk makluman, teater ‘Persiapan Seorang Aktor’ telah mendapat pengiktirafan Best Original Script dan The Best Of 2024 di 20th BOH Cameronian Arts Awards.
Disebabkan kejayaan terdahulu, karya ini dipentaskan sekali lagi tetapi dalam versi yang lebih matang, dengan harapan ia terus memberi kesan yang mendalam kepada penonton dan pencinta teater tanah air.
Pementasan ini turut mendapat suntikan tenaga kreatif melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Fakulti Filem Teater dan Animasi, khususnya dari segi penglibatan produksi kreatif serta perkongsian idea yang memperkukuh keseluruhan pengalaman artistik persembahan ini.
Kolaborasi ini mencerminkan komitmen dan inisiatif Mask Team dalam menghubungkan institusi akademik dengan industri kreatif tanah air.
Selain daripada pementasan utama, satu program tambahan iaitu Casting Call turut akan dijalankan secara eksklusif sepanjang tempoh pementasan di PJPAC.
Program ini bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang lakonan dan memberi peluang kepada mereka yang bercita-cita untuk menyertai dunia seni secara profesional.
Tiket sudah mula terjual dan boleh didapati di http://www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98. Sebarang perkembangan lanjut, boleh ikuti media sosial rasmi Mask Team.
The post Nam Ron Tampil Menerusi Teater ‘Persiapan Seorang Aktor’, Dipentaskan 17 Julai Ini first appeared on OHBULAN!.





