Siapa sangka pameran pertanian bukan sekadar tempat melihat hasil tanaman dan produk tempatan apabila MAHA 2026 berjaya mencatatkan lebih 5 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya.
Lebih membanggakan, jumlah berkenaan bukan sahaja melepasi sasaran awal sebanyak empat juta pengunjung, malah turut menyaksikan lebih satu juta kenderaan direkodkan sepanjang MAHA 2026 berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Penganjuran yang melabuhkan tirainya semalam itu turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan dari segi nilai ekonomi, selain memperlihatkan penerimaan MAHA sebagai sebuah platform nasional yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
Lebih 5 juta pengunjung, termasuk golongan muda

Antara perkara yang mencuri perhatian pada edisi kali ini ialah kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum, termasuk masyarakat Cina dan India.
Peningkatan tersebut memperlihatkan MAHA semakin diterima sebagai acara yang merentasi kaum dan latar belakang, sekali gus menjadi ruang untuk rakyat bersama-sama mengenali, menikmati serta menyokong perkembangan sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan negara.
Bukan itu sahaja, golongan belia turut menunjukkan minat yang cukup tinggi apabila lebih dua juta belia, bersamaan 40% daripada keseluruhan pengunjung, hadir memeriahkan MAHA 2026.
Jumlah itu jauh mengatasi sasaran awal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu 800,000 belia.
Kehadiran lebih dua juta belia ini secara tidak langsung mencerminkan peningkatan minat generasi muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan, selain menunjukkan bidang berkenaan mempunyai potensi untuk terus diterokai oleh golongan muda.
97 MoU, nilai kerjasama cecah RM10.35 bilion
Selain sambutan luar biasa daripada pengunjung, MAHA 2026 turut mencatatkan pencapaian ekonomi yang signifikan.
Sebanyak 97 Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai sepanjang penganjuran, melibatkan nilai keseluruhan lebih RM10.35 bilion.
Jumlah itu sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak RM8 bilion.
Dalam masa sama, nilai jualan keseluruhan sepanjang MAHA 2026 turut merekodkan lebih RM73 juta, berbanding sasaran RM58 juta yang ditetapkan sebelum ini.
Pencapaian tersebut membuktikan MAHA bukan sekadar menjadi acara untuk orang ramai melihat dan menikmati pelbagai produk serta aktiviti berkaitan pertanian, tetapi turut membuka ruang lebih besar untuk perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama dalam ekosistem pertanian dan agromakanan negara.
Teknologi & inovasi dekatkan pertanian dengan rakyat
Sambutan menggalakkan sepanjang 10 hari penganjuran turut mencerminkan minat serta sokongan berterusan rakyat terhadap sektor pertanian dan agromakanan.
Pelbagai pengisian yang diketengahkan menerusi MAHA 2026 berjaya mendekatkan masyarakat dengan perkembangan teknologi dan inovasi dalam sektor berkenaan.
Pada masa sama, penganjuran ini turut mengetengahkan potensi besar sektor pertanian sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Dengan kehadiran lebih lima juta pengunjung, MAHA 2026 sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai platform utama yang menghimpunkan seluruh ekosistem pertanian dan agromakanan dalam satu acara berskala besar.
Kejayaan hasil kerjasama pelbagai pihak
Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang meluangkan masa untuk hadir, memeriahkan serta memberikan sokongan kepada MAHA 2026.
Sokongan daripada masyarakat pelbagai kaum itu disifatkan sebagai antara kekuatan utama dalam memastikan MAHA terus berkembang sebagai acara yang dekat dengan rakyat.
Kejayaan MAHA 2026 juga tidak terhasil tanpa komitmen dan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan dan agensi, kerajaan negeri, pempamer, rakan strategik, media, petugas serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan edisi kali ini.
Dengan rekod lebih 5 juta pengunjung, 97 MoU bernilai lebih RM10.35 bilion, jualan melebihi RM73 juta serta kehadiran lebih dua juta belia, MAHA 2026 sekali lagi membuktikan bahawa sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan mempunyai tempat yang semakin penting dalam kehidupan rakyat.
Lebih daripada sekadar sebuah pameran, kejayaan edisi kali ini turut memperkukuh peranan MAHA dalam menyokong agenda pembangunan sektor pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara, selaras dengan agenda serta harapan Kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
The post MAHA 2026 Tarik 5 Juta Pengunjung, Jana RM10.35 Bilion first appeared on OHBULAN!.





