Seorang lelaki menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pelakon veteran terkenal, Wan Maimunah berikutan wajah arwah ibunya dikatakan mirip aktres tersebut.
Seiras wajah arwah ibu
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, lelaki yang dikenali sebagai Syukrie Sufian itu berharap impiannya untuk bertemu pelakon berusia 68 tahun tersebut tercapai pada Aidilfitri tahun ini.
Tahun ini saya nak tebal muka sikit. Saya tahu Wan Maimunah ada dekat Terengganu sedang berniaga ayam bakar, tapi agak-agak raya tahun ini dia ada di mana ya?
Saya teringin sangat nak jumpa dia sebab wajah dia persis arwah mak.
Menurut Syukrie, hasratnya itu adalah untuk melepaskan rasa rindu yang mendalam terhadap arwah ibunya yang sudah lama kembali menghadap Ilahi.
Arwah mak meninggal 19 tahun lepas tetapi perasaan bersalah itu masih saya simpan sampai sekarang.
Cuma berharap tahun ini, saya boleh lepaslan beban, masalah, dosa yang saya galas selama 19 tahun ini.
Harap dapat bertemu
Terbaharu, Syukrie memaklumkan bahawa anak kepada pelakon filem Zaiton: Ceritaku tersebut sudah pun memberi respon kepadanya.
Alhamdulillah. Nampak gayanya macam ada rezeki untuk bersua muka, semoga diberi kesempatan.
Anak kepada Wan Maimunah sudah respon di Facebook. Terima kasih semua.