Penyanyi yang juga ahli kumpulan Alpha, Ariel Fesol menegaskan hubungannya dengan pelakon Erysha Emyra sekadar rakan dalam industri seni dan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.
Artikekl Berkaitan: Erysha Emyra Sifatkan Ariel Fesol Lelaki Baik – ‘Bila Bekerjasama, Secara Semula Jadi Akan Rapat’
‘Kami hanya berkawan’

Ariel, 28, berkata, spekulasi mengenai mereka mula timbul selepas keduanya digandingkan dalam drama sebuah naskhah sekali gus membuatkan peminat melihat mereka sebagai pasangan yang serasi.
Sebenarnya spekulasi ini mula menjadi bualan ramai sejak saya digandingkan dengan dia (Erysha) dalam sebuah drama. Bagi saya, saya berkawan dengan semua orang.
Memang tidak dinafikan kami agak rapat, tetapi itu kerana dia adalah heroin saya dalam drama tersebut. Jadi, keserasian itu memang perlu ada.
Ariel berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya anjuran Astro bagi tahun 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.
Tambah Ariel, buat masa ini dia lebih selesa memberi tumpuan kepada perkembangan kerjayanya dalam industri hiburan, khususnya bersama kumpulan Alpha yang semakin mendapat perhatian peminat.
Kami hanya berkawan. Tiada sebarang hubungan istimewa yang perlu saya ceritakan buat masa ini. Fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya serta tanggungjawab saya bersama Alpha.
Dalam pada itu, Ariel menganggap tindakan peminat yang gemar menjodohkan mereka di media sosial sebagai perkara biasa.
Bagi saya, itu perkara biasa. Mana-mana pelakon yang digandingkan bersama pasti akan ada peminat yang ‘shipping’ mereka.
Kalau perkara itu membuatkan mereka gembira, saya juga tumpang gembira. Namun hakikatnya, kami tetap berkawan seperti biasa.
Terdahulu, khabar angin mengenai hubungan rapat antara Ariel dan Erysha mula diperkatakan dalam kalangan peminat selepas mereka dilihat sering berkongsi momen bersama di media sosial.
Berkongsi perkembangan lain, Ariel teruja apabila kumpulan Alpha tampil dengan dua lagu raya baharu berjudul Rindu Raya dan Raya Macam Raya yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi dan komposer, Hael Husaini.
The post ‘Kami Hanya Berkawan, Tiada Hubungan Istimewa’ – Ariel Fesol first appeared on OHBULAN!.





