
Pengarah terkenal, Osman Ali kembali ke layar perak dengan naskah seram terbaharunya, Telaga Suriram.
Misteri kehilangan kanak-kanak

Kejadian mengenai kehilangan kanak-kanak sememangnya antara kes yang sering menjadi tumpuan masyarakat. Biarpun kebanyakkan kes dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa, namun ada juga beberapa kes yang masih menjadi misteri.
Justeru, ia telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Telaga Suriram.
Pengarahnya, Osman Ali berkata filem berkenaan diinspirasikan daripada sebuah kisah yang berlaku suatu masa dahulu, iaitu kes seorang kanak-kanak yang maut terjatuh ke dalam telaga.
Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.
Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun.
Telaga Suriram berkisarkan kejadian seorang kanak-kanak bernama Suriram yang kehilangannya menjadi misteri penduduk kampung.
Menariknya, filem ini turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rafasya.
Dalam pada itu, Osman berkata, naskah tersebut mempunyai kelainan berbanding filem-filem seram lain.
Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja.
Saya ingin membawa pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita.
Lokasi filem

Telaga Suriram menjalani sesi penggambaran selama 45 hari bermula penghujung Januari 2022 yang berlangsung di Perlis, Kedah dan Perak.
Bercerita lanjut, Osman turut berkongsi tentang cabaran yang ditempuhinya sepanjang proses pembikinan filem dilakukan.
Kebanyakkan lokasi penggambaran adalah di kawasan kampung tradisional yang mempunyai kisah tersendiri untuk mendapatkan suasana seram yang lebih autentik.
Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.
Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja.
Sementara itu, Yus Yusop selaku penerbit memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan filem Telaga Suriram bermula kerana minatnya terhadap cerita-cerita rakyat yang kaya dengan unsur sejarah dan elemen mistik.
Menurut Yus, berdasarkan perbincangan dengan pengarah, pihaknya merasakan kisah sedemikian sangat sesuai untuk diangkat ke layar perak.
Filem ini dihasilkan pada tahun 2022 dan menjalani proses yang sangat teliti dari peringkat skrip hingga pasca produksi. Itu yang menyebabkan masa selama tiga tahun terpaksa diambil untuk siap secara keseluruhannya.
Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di pawagam sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan.
Selain mengharapkan sambutan hangat penonton, Yus juga inginkan filem ini bukan sahaja dapat menarik perhatian peminat filem seram, tetapi ianya juga untuk mereka yang menghargai seni dan budaya masyarakat di negara ini.
Telaga Suriram merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali ini dan terbitan sulung syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman Ali, Nuansa Films yang akan ditayangkan di pawagam mulai 1 Mei 2025.





