Filem romantik fantasi berjudul Sore: Istri dari Masa Depan kini melakar sejarah baharu apabila dipilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Anugerah Academy (Oscar) ke-98 dalam kategori Best International Feature Film.
Artikel Berkaitan: Welcome Home! Michelle Yeoh Selamat Pulang Ke Tanah Air, Bawa Trofi Oscars Ke Pusara Bapa
Wakil Indonesia ke Oscar

Pemilihan itu diumumkan pada 8 September lalu oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia, sebuah jawatankuasa di bawah naungan Persatuan Perusahaan Film Indonesia (PPFI) yang diiktiraf secara rasmi oleh pihak Academy.
Karya arahan Yandy Laurens ini berjaya mencuri perhatian di negara asalnya dengan mencatat lebih 3 juta tontonan di pawagam Indonesia.
Malah, akan diperluaskan ke pasaran Malaysia dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 25 September depan dengan Primeworks Studios bertindak sebagai rakan pemasaran.
Penerbitnya, Suryana Paramita berkata, pihaknya amat bersyukur dan terharu selain memohon doa semua pihak.
Kami amat bersyukur kerana Sore: Istri dari Masa Depan terpilih menjadi wakil Indonesia ke Oscar. Harapan kami agar perjalanan ini dipermudahkan dan mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.
Sementara itu, penulis dan pengarah, Yandy Laurens turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Terima kasih kepada Komite Seleksi Oscar Indonesia kerana memberikan kepercayaan tinggi kepada karya kami. Semoga peluang ini membuka lembaran baharu selepas sambutan luar biasa di Indonesia.
Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Sheila Dara, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus, dengan jalan cerita yang menggabungkan kisah cinta dan elemen fantasi.
Keunikan tersebut diyakini mampu memberi impak besar kepada penonton Malaysia selepas kejayaan cemerlang di Indonesia.
The post Filem ‘Sore: Istri Dari Masa Depan’ Wakili Indonesia Ke Oscar 2026 first appeared on OHBULAN!.





