Dunia perfileman animasi bakal menyaksikan sebuah lagi karya agung hasil gabungan kreativiti Malaysia dan tenaga pakar antarabangsa menerusi filem cereka terbaharu, ‘A Mighty Adventure’.
‘A Mighty Adventure’

Dijadualkan tayangan global pada suku pertama tahun 2026, filem ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi sebuah naskhah seni yang mengangkat keberanian dan impian zaman kanak-kanak melalui penceritaan visual yang memukau.
Projek mega ini merupakan hasil kerjasama rentas benua yang melibatkan Fly Studio dari Malaysia, Zero One Film (Taiwan), ACE Integrated, Anima Vitae (Malaysia/Finland), Roundbox (Indonesia), dan CES Image (Taiwan).
Mendapat sokongan daripada MDEC dan FINAS, filem ini menyasarkan kualiti setaraf antarabangsa dengan bajet anggaran mencecah RM20 juta.
Tanpa menggunakan sebarang dialog, ‘A Mighty Adventure’ mempertaruhkan kekuatan bahasa badan dan emosi untuk menyampaikan kisahnya.
Naratif filem ini berpusat kepada tiga sahabat kecil yang berjiwa besar seekor Mini si belalang, Sipidier si labah-labah, dan Butty si rama-rama. Kehidupan mereka berubah apabila secara tidak sengaja terperangkap di puncak sebuah bangunan pencakar langit di tengah kesibukan kota.
Apa yang menyusul adalah sebuah perjalanan epik ‘pasukan pengembaraan mini’ ini untuk mencari jalan pulang ke habitat asal mereka.
Konsep tanpa dialog ini sengaja dipilih untuk membolehkan filem ini dinikmati oleh penonton dari pelbagai latar belakang budaya, bahasa, dan usia menjadikannya sebuah kisah keluarga yang benar-benar sejagat.
Sentuhan Emas Pengarah Legenda

Filem ini diterajui oleh Toe Yuen, pengarah animasi tersohor dari Hong Kong yang pernah memenangi anugerah di Festival Animasi Antarabangsa Annecy dan Anugerah Kuda Emas (Golden Horse).
Terkenal dengan karya klasik yang menyentuh hati seperti My Life as McDull dan CJ7: The Cartoon, Toe Yuen kali ini membawa visi untuk menggabungkan animasi CG yang halus dengan sinematografi aksi sebenar (live-action).
Kualiti produksi filem ini turut mendapat pengiktirafan awal yang membanggakan apabila telah menerima tiga pencalonan utama untuk Anugerah Golden Horse 2026, iaitu bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Reka Bentuk Bunyi Terbaik, dan Kesan Visual Terbaik.
Penerbit filem dan pengasas Fly Studio, Wee Meng Hee, menegaskan bahawa ‘A Mighty Adventure’ bukanlah tentang mengejar kecanggihan teknologi semata-mata, sebaliknya ia adalah tentang jiwa.
Kini, dengan proses animasi yang sudah 95% siap dan sedang melalui fasa akhir reka bentuk bunyi.
The post Filem Animasi ‘A Mighty Adventure’ Cipta Kelainan, Telan Kos Cecah RM20 Juta first appeared on OHBULAN!.





