
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kembali menggegarkan pawagam dengan jalan cerita yang lebih matang, aksi lebih mendebarkan serta kejutan tanpa henti.
Kolaborasi 3 penyanyi hebat

Menambah nilai pada pengalaman sinematik, EATM2 turut menampilkan tiga lagu runut bunyi (OST) istimewa hasil kolaborasi bersama tiga nama besar industri muzik Dato’ M. Nasir, Nidji dan Hael Husaini.
Setiap lagu bukan sekadar pelengkap filem, tetapi memainkan peranan penting dalam membina emosi, nilai-nilai positif, mesej perjuangan dan persahabatan yang menjadi nadi kepada penceritaan EATM2.
Menampilkan legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, lagu ‘Hanya Kamu’ dicipta oleh Azri Yunus dengan gandingan lirik oleh Azri Yunus, LunaAyla dan Dato’ M. Nasir sendiri. Lagu ini mengangkat tema perjuangan peribadi dan ketabahan yang waja sebagai sumber kekuatan dalam kegelapan, sejajar dengan konflik emosi yang dilalui oleh Ejen Ali, watak utama dalam filem ini.
‘Teman Sejati’ ciptaan Andi Ariel Harsya dan terbitan Petra Sihombing merupakan sebuah lagu oleh band terkenal Indonesia, Nidji, dari album mereka Manifestasi Hati yang telah menemui peminat pada bulan Januari lalu. Lagu ini menjadi anthem kepada ikatan tulus yang menyatukan para ejen dalam menghadapi cabaran besar dan membawa maksud yang mendalam tentang ertinya sebuah persahabatan.
Lagu penuh semangat dengan beat catchy dan lirik inspirasi ‘Penjuara’ menggambarkan Ejen Ali sebagai seorang pejuang berani, bersedia melangkah ke hadapan menentang musuh utama, Neonimus. Lagu karya Hael Husaini dan Iqie Hugh menggabungkan elemen electro pop moden dengan lirik yang membakar semangat dan mesej tentang keyakinan diri. Lagu ini akan diputarkan di Radio Hot FM dan Kool 101 bermula hari ini dan akan tersedia di platform digital mulai minggu depan.
Gabungan tiga irama melodik dalam satu pengalaman sinematik yang epik! Dengan kolaborasi muzik lintas negara dan barisan penyanyi berprofil tinggi, Ejen Ali The Movie 2 bukan sahaja menjanjikan visual yang memukau, tetapi turut menyuntik dimensi emosi lebih mendalam melalui kekuatan lagu-lagu temanya.
Satria Bangkit! Bersiap sedialah untuk merasai ledakan muzik yang menghidupkan semangat heroik Ejen Ali! Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi!
Gunakan #EjenAli #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #AniMY untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!





