Pelakon Nora Danish berkongsi tentang sambutan Aidilfitri tahun ini yang dirai secara sederhana bersama keluarga tercinta.
Artikel Berkaitan: Nora Danish Kongsi Tips Khatam Al-Quran Di 10 Ramadan Terakhir – ‘Kurangkan Aktiviti Yang Tak Perlu, Fokus Pada Bacaan’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Rasa Wajib Hafal & Dibaca’ – Nora Danish Kongsi Doa Harian
Sambutan Hari Raya

Ketika dihubungi , pemilik nama Nora Mohd Danish Hanif, 44, itu berkata, baginya perkara paling penting yang harus diberikan perhatian semasa menyambut Hari Raya adalah masa bersama orang yang tersayang berbanding persiapan secara berlebihan.
Seperti kebanyakan orang, persiapan raya saya pun sederhana sahaja. Biasanya saya lebih fokus kepada suasana bersama keluarga.
Bagi saya, yang paling penting bukanlah persiapan yang besar, tetapi masa yang kita dapat luangkan bersama orang yang kita sayang.
Dalam pada itu, Nora turut berkongsi aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama keluarganya pada Hari Raya serta juadah yang wajib terhidang setiap kali tibanya Syawal.
Tradisi keluarga kami biasanya bermula dengan solat sunat Aidilfitri, kemudian kami akan berkumpul dan bermaaf-maafan.
Selepas itu barulah makan bersama. Momen bermaafan itu sebenarnya sangat bermakna kerana ia mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang dalam keluarga.
Kalau raya, memang tidak lengkap tanpa rendang, dendeng, soto, lontong, ketupat dan terutamanya lemang. Saya memang khususkan hanya makan lemang apabila raya sahaja.
Bagi saya, makanan raya ini bukan sekadar hidangan, tetapi juga kenangan yang kita kongsi bersama keluarga.
Sementara itu, pelakon filem Polis Evo tersebut turut menyifatkan pemberian duit raya sebagai salah satu bentuk sedekah, yang pastinya memberi kegembiraan kepada setiap penerima.
Saya sebenarnya tidak pernah kira jumlah paling banyak yang saya beri untuk duit raya.
Bagi saya, duit raya itu lebih kepada tanda berkongsi kegembiraan. Yang penting adalah niat untuk menggembirakan anak-anak dan keluarga.
Melihat senyuman mereka ketika menerima duit raya itu sudah cukup menggembirakan hati kita.
The post ‘Duit Raya Adalah Tanda Berkongsi Kegembiraan, Yang Penting Niat Untuk Bahagiakan Mereka’ – Nora Danish first appeared on OHBULAN!.





