Pelakon, Diana Danielle membuat pendedahan mengejutkan apabila menceritakan pengalaman pahitnya berdepan gangguan seksual sejak usia kanak-kanak hingga remaja, malah berlanjutan ketika bergelar anak seni.
Artikel Berkaitan: ‘Kehilangan Kawan Baik Dalam Perkahwinan Adalah Titik Terendah Dalam Hidup Saya’ – Diana Danielle
Mangsa gangguan seksual

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, antara insiden yang tidak dapat dilupakan ketika usianya sekitar 16 tahun, seorang kru produksi menghantarnya pulang ke rumah selepas selesai menjalani penggambaran.
Ibu saya ketika itu seorang ibu tunggal, jadi tidak berkesempatan menjemput saya. Seorang kru produksi menawarkan diri, dia menghantar saya pulang.
Sebaik sampai di lobi, saya mahu turun tetapi dia tahan dengan alasan ingin berbual. Tiba-tiba dia meletakkan tangan di paha saya.
Saya terus menegur dan beritahu, jangan sesekali menyentuh saya. Kalau nak berbual, biar secara beradab.
Diana mendedahkan perkara itu menerusi saluran podcast Children’s Protection Society di YouTube.
Biarpun mengakui berasa takut kerana terperangkap dalam keadaan yang tidak selesa, Diana nekad mempertahankan diri.
Dalam kereta, kita tidak tahu apa boleh berlaku. Tapi saya pilih untuk berani dan tunjuk ketegasan. Nasib baik dia berhenti. Saya bersyukur kerana dapat pertahankan maruah diri.
Lebih menyedihkan, Diana turut berkongsi pengalaman lebih awal sewaktu berusia enam tahun apabila diganggu rakan bapa tirinya.
Dia dikenali sebagai seorang yang mesra dengan kanak-kanak. Tetapi ada satu ketika dia mengambil kesempatan terhadap saya.
Saya terkaku, kemudian berlari keluar rumah. Sejak itu saya menjauhkan diri daripadanya kerana mula sedar kelakuannya tidak normal.
Tambah Diana, kisah tersebut hanya dipendam kerana ketika kecil dia tidak tahu bagaimana untuk bersuara.
Sampai sekarang ibu saya tidak pernah tahu tentang perkara itu. Saya simpan rahsia terlalu lama. Saya faham keadaan ibu ketika itu dan tidak pernah salahkan dia.
Tapi apa yang saya nak tekankan, manusia boleh berwajah manis tetapi simpan niat jahat. Kadang-kadang bukan orang luar, malah orang yang rapat juga boleh menjadi pemangsa.
Sumber: YouTube
The post Diana Danielle ‘Diganggu’ Rakan Bapa Tiri – ‘Wajah Manis, Tapi Simpan Niat Jahat’ first appeared on OHBULAN!.





