Musibah banjir yang melanda sering kali menjejaskan rutin harian, termasuk pelaksanaan ibadah. Namun, Islam memberi kelonggaran kepada mangsa bencana untuk menunaikan solat mengikut kemampuan dan keadaan semasa.
Artikel Berkaitan: Jangan Panik! Ini Langkah Mudah Tuntut Insurans Kenderaan Akibat Banjir
Artikel Berkaitan: Banjir: Rumah Syahmi Sazli Di Kota Bharu Naik Air, Netizen Titip Doa – ‘Semoga Dipermudahkan’
Wajib bagi mukallaf

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun berdepan dengan kesulitan, hukum menunaikan solat fardu tetap wajib dipenuhi bagi setiap individu yang mukallaf.
Terdapat ulama menjelaskan bahawa keadaan banjir tidak termasuk dalam situasi yang membolehkan solat dilakukan secara jamak, kecuali jika memenuhi syarat darurat sehingga mendesak.
Walaupun solat jamak ketika hujan dibolehkan berdasarkan pandangan mazhab Syafi’i, masih terdapat beberapa syarat yang perlu diteliti terlebih dahulu.
Syarat pertama, solat jamak hanya dibenarkan dilakukan di masjid atau surau yang jaraknya jauh sehingga menyukarkan jemaah untuk hadir.
Selain itu, jamak juga diharuskan ketika hujan turun sehingga membasahi pakaian. Jika hujan renyai dan tidak menyebabkan pakaian basah, maka tidak boleh.
Sempurnakan solat ikut kemampuan

Menurut penjelasan Mufti Negeri Terengganu, kewajipan menunaikan solat Jumaat bagi mereka yang terjejas akibat banjir hukumnya adalah tidak wajib. Penjelasan ini selaras dengan fatwa daripada Darul Ifta’ Mesir.
Sesungguhnya syarak yang mulia telah mengharuskan solat jumaat di rumah, ertinya solat zohor di rumah ketika musibah semula jadi seperti banjir dan ribut.
Hukum menunaikan solat ketika berada dalam keadaan banjir adalah sah selagi tiada tempat kering untuk menunaikannya dan segala rukun dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Sekiranya bimbang terhadap paras air yang menghalang, mangsa banjir boleh melakukan solat sambil berdiri dan memadai dengan menundukkan tubuh mengikut kemampuan, tanpa perlu menyempurnakan pergerakan seperti rukuk, sujud dan duduk di antara dua sujud.
Berwuduk juga merupakan salah satu daripada syarat sah solat dan mangsa dibolehkan menggunakan air yang mengalir sebagai alat untuk bersuci.
Sumber: eCentral, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Negeri Terengganu
The post Cara Menunaikan Solat Ketika Banjir: Ringkas, Mudah & Mengikut Kemampuan first appeared on OHBULAN!.





