29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bermula Dengan Niat Spontan… Jaja Ishak, Haqiem Rusli Kongsi Rezeki Dengan Anak Yatim & Asnaf

    Shopee Sale

    Kadang-kadang, perkara baik tidak memerlukan perancangan yang panjang. Cukup dengan rasa tergerak di hati, sedikit ruang dalam kesibukan dan kesediaan untuk berkongsi apa yang ada.

    Itulah yang berlaku kepada penerbit rumah produksi Jaja Ishak Channel, Jaja Ishak apabila kunjungannya ke Kuantan, Pahang atas urusan penggambaran akhirnya membawa kepada satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama anak-anak yatim dan golongan asnaf.

    Menurut Jaja, program berkenaan tercetus secara spontan selepas dia terlihat Rumah Anak-Anak Yatim & Asnaf Permata Camar ketika melalui kawasan persisiran pantai di Kuantan.

    ARTIKEL BERKAITAN: Populariti Penting, Tetapi Jaja Ishak Percaya Sebuah Drama Juga Ada Tanggungjawab

    ARTIKEL BERKAITAN: Haqiem Rusli Terima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM, Lagu ‘Mimpi’ Raih Pendapatan Lebih RM100,000

    Haqiem Rusli Turut Sama Hulur Tangan

    Tanpa perancangan awal yang terperinci, penerbit drama bersiri Boss Kid yang sedang bersiaran di TV3 ini mengambil keputusan untuk singgah sebelum menyampaikan sumbangan berbentuk wang ringgit dan makanan kepada penghuni rumah berkenaan.

    “Secara peribadi, saya tak kisah untuk buat CSR di mana-mana. Kebetulan saya ada urusan kerja di Kuantan dan ketika melalui kawasan persisiran pantai, saya ternampak rumah anak yatim itu.

    “Dari situ saya tergerak hati untuk singgah dan akhirnya program CSR itu berlaku secara spontan,” katanya.

    Momen tersebut menjadi lebih bermakna apabila penyanyi Haqiem Rusli turut menyertai Jaja dalam kunjungan berkenaan.

    Menurut Jaja, dia mengetahui Haqiem juga berada di Pahang ketika itu selepas mereka sempat berhubung menerusi media sosial.

    Kesempatan tersebut membuatkan Jaja terus mempelawa pelantun lagu Tergantung Sepi itu untuk bersama-sama turun menyantuni anak-anak yatim dan golongan asnaf.

    “Saya tahu Haqiem memang selalu turun ke Pahang atas urusan kerja. Kebetulan ketika kami bersembang di media sosial, saya tahu dia ada di sana.

    “Saya pun pelawa dia untuk sertai kerja amal ini dan dia terus bersetuju. Walaupun semuanya tidak dirancang dengan begitu teliti, Alhamdulillah urusan kami dipermudahkan dan program berjalan dengan lancar,” katanya.

    Bagi Jaja, kehadiran Haqiem bukan sekadar memeriahkan kunjungan berkenaan, sebaliknya memperlihatkan bagaimana peluang untuk berbuat baik boleh muncul pada bila-bila masa apabila seseorang bersedia menyahutnya.

    Tak Perlu Tunggu Kaya Untuk Membantu

    Di sebalik program tersebut, Jaja membawa satu prinsip yang cukup mudah iaitu jangan menunggu sehingga memiliki segala-galanya sebelum mahu berkongsi dengan orang lain.

    Menurutnya, nilai sesebuah sumbangan bukan terletak pada besar atau kecil jumlahnya, sebaliknya pada keikhlasan serta kesediaan seseorang untuk membantu mengikut kemampuan masing-masing.

    “Bagi saya, kita perlu sedar rezeki dan kelebihan yang kita ada boleh dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

    “Tak perlu tunggu kaya raya baru nak menderma. Apa yang kita mampu, kita kongsi. Kadang-kadang apabila hati dah tergerak untuk buat kebaikan, kita terus buat sahaja. Kalau terlalu banyak merancang pun belum tentu menjadi,” katanya.

    Pegangan itulah yang membuatkan Jaja terus menjadikan kerja kebajikan sebagai sebahagian daripada kehidupannya, meskipun kebanyakan usaha tersebut tidak pernah dikongsikan kepada umum.

    MENARIK:  Rancangan Shuhada: 'Humairah Ingin Bawa Anak-Anak Melancong Ke Luar Negara Selepas Hari Raya'

    Hampir 20 Tahun Buat Kerja Kebajikan Dalam Diam

    Malah, Jaja mendedahkan aktiviti kebajikan bukan sesuatu yang baharu buat dirinya dan syarikat.

    Menurutnya, usaha seumpama itu sudah dilakukan hampir dua dekad, cuma kebanyakannya berjalan tanpa publisiti atau perhatian media.

    “Kalau CSR seperti ini, rasanya sudah hampir 20 tahun kami buat. Cuma selama ini kami tak uar-uarkan.

    “Di kampung misalnya, tahun ini syarikat kami akan sediakan kit pengurusan jenazah untuk membantu penduduk yang memerlukan,” kongsinya.

    Buat Jaja, tidak semua kebaikan perlu diketahui ramai kerana perkara paling penting adalah manfaat tersebut sampai kepada individu yang benar-benar memerlukan.

    ‘Asalkan Ada Niat Nak Mudahkan Orang’

    Jaja turut percaya seseorang tidak perlu mempunyai wang yang banyak untuk mula membantu.

    Baginya, perkara paling penting adalah mempunyai niat untuk meringankan beban orang lain, walaupun bantuan yang diberikan mungkin kelihatan kecil pada pandangan sendiri.

    “Prinsip saya mudah. Asalkan kita ada niat untuk bantu dan mudahkan urusan orang lain, insya-Allah urusan kita juga akan dipermudahkan.

    “Banyak atau sedikit bukan ukuran utama. Apa yang penting, kita ikhlas dan buat berdasarkan kemampuan,” katanya.

    Kepercayaan itu bukan sekadar sesuatu yang dipegang secara teori.

    Sepanjang hidupnya, Jaja berkata dia sendiri pernah melalui pelbagai situasi yang membuatkan dirinya semakin yakin bahawa kebaikan selalunya akan kembali dalam bentuk yang tidak dijangka.

    Kebaikan Datang Dalam Bentuk Yang Kita Tak Sangka

    Daripada kesempitan wang sehinggalah berdepan masalah kecil seperti tayar pancit di tepi jalan, Jaja berkata ada waktunya bantuan datang daripada individu yang langsung tidak dikenalinya.

    Situasi sebegitu membuatkan Jaja melihat setiap kebaikan sebagai satu bentuk ‘simpanan’ yang mungkin kembali kepada seseorang pada waktu mereka paling memerlukannya.

    “Terlalu banyak perkara yang saya sendiri pernah lalui.

    “Ada masa kita susah, duit tak cukup atau tayar pancit di tepi jalan, tiba-tiba ada orang yang kita tak kenal datang membantu.

    “Kita tak tahu siapa yang akan bantu kita suatu hari nanti. Sebab itu pada saya, kalau ada peluang untuk buat baik, buat sahaja. Insya-Allah kebaikan itu akan kembali kepada kita dalam bentuk yang mungkin kita sendiri tak jangka,” katanya.

    Kunjungan Jaja bersama Haqiem ke Rumah Anak-Anak Yatim & Asnaf Permata Camar mungkin bermula tanpa perancangan besar, namun di situlah terletaknya sisi paling indah program tersebut.

    Kadangkala, sebuah kebaikan tidak memerlukan acara gah atau persiapan berbulan-bulan. Cukup apabila seseorang memilih untuk berhenti seketika daripada kesibukan sendiri, melihat sekeliling dan bertanya, “Apa yang boleh saya bantu hari ini?”

    The post Bermula Dengan Niat Spontan… Jaja Ishak, Haqiem Rusli Kongsi Rezeki Dengan Anak Yatim & Asnaf first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah