Selepas kejayaan musim pertamanya, Boleh Saya Bantu? kembali dengan musim kedua yang bakal menceriakan hujung minggu penonton.
Boleh Saya Bantu? 2

Kisah kali ini membawa penonton kembali ke dunia Love Wave Hotel yang kini berada di ambang muflis.
Nasar (Andi Bernadee) yang baru sahaja melalui penceraian dengan Jannah, terpaksa menggalas tugas besar menguruskan hotel selain hidupnya pula menjadi rumit apabila terjebak dalam cinta tiga segi antara Farida (Riena Diana) dan Haiza (Wanie Ooi). Nasar juga dilema sama ada mahu kembali kepada bekas isterinya atau tidak.
Dalam kekalutan menguruskan emosinya, usaha Nasar menyelamatkan operasi Love Wave Hotel berdepan pelbagai cabaran yang tidak dijangka. Satu demi satu insiden misteri berlaku daripada kemunculan tetamu yang menimbulkan tanda tanya, panggilan telefon yang mengundang rasa curiga, kemunculan bomoh moden, hinggalah penemuan sebuah wasiat yang mampu mengubah takdir cinta Farida.
Mampukah Nasar menumpukan sepenuh perhatian untuk memastikan hotel itu terus beroperasi sedangkan hatinya sendiri masih berperang? Dan apakah rahsia di sebalik wasiat misteri yang tiba-tiba terungkai itu?
‘Saya cuba selami kehidupan mereka’

Bagi Andi Bernadee, watak Nasar memberi cabaran tersendiri kerana memerlukan penghayatan mendalam.
Saya sendiri tak pernah berkahwin, jadi nak faham emosi seorang lelaki yang pernah gagal dalam hubungan memang mencabar.
Saya juga ada berbual dan mendapatkan maklumat daripada kawan-kawan yang dah berkahwin dan pernah lalui masalah ini. Saya cuba selami kehidupan mereka.
Ada yang ‘struggle’ dan ada yang dia reda, ayat yang paling saya ingat ialah, ‘life must go on.’ Saya faham pastinya ada waktu sedih dan ada waktu gembira. Jadi saya ambil pendekatan berdasarkan skrip drama ini,
Sementara itu, Riena Diana yang membawa watak Farida berkata drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut memaparkan isu-isu sosial yang dekat di hati penonton.
Ada babak yang sangat dekat dengan realiti, seperti isu penderaan fizikal, mental dalam hubungan, kosmetik berbahaya serta wanita berkerjaya yang sanggup menyara ‘biawak hidup’.
Setiap babak dalam drama ini membawa tafsiran tersendiri, mencerminkan realiti masyarakat dari sudut pandang dunia pekerja di hotel.
Karya arahan Shuhaimi Lua pada musim ini membariskan pelakon utama yang sudah sinonim dengan siri ini seperti Andi Bernadee, Riena Diana, Mark Adam, Wanie Ooi dan Nasz Sally, serta memperkenalkan watak baharu lakonan Aliff Hadi.
Penonton juga bakal disajikan dengan kemunculan istimewa artis-artis popular termasuk Fadlan Hazim, Khatijah Tan, Joey Daud, Muaz Zabir, Josiah Hogan, Ropie dan Fizo Omar.
Dengan gabungan komedi, percintaan, dan mesej kehidupan, Boleh Saya Bantu? 2 menjanjikan pengalaman menonton yang menghiburkan dan menyentuh hati.
Saksikan bermula 8 Ogos 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam di slot Lestary TV3, atau strim episod terbaharu 24 jam lebih awal di http://www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.
The post Andi Bernadee Cabar Diri Hayati Watak ‘Duda Hot’ Menerusi Drama Boleh Saya Bantu? 2 first appeared on OHBULAN!.





