Penyanyi Aisha Retno menerima segala kritikan dengan hati terbuka selepas persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 Separuh Akhir (AJL40 SA) menjadi bualan ramai kerana dikatakan kurang bertenaga.
Artikel Berkaitan: Wani Kayrie, Ryenald Guntabid & KOI Antara 10 Lagu Mara Ke AJL40
Artikel Berkaitan: ‘Perkataan Lebaran Pun Boleh Cetuskan Perdebatan’ – Aisha Retno
Aisha Retno penat, tak cukup rehat

Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, mengakui dia sebenarnya sudah menjangkakan pelbagai reaksi daripada penonton sebaik sahaja persembahan tamat.
Namun dia berlapang dada dengan setiap komen yang diterima kerana menganggap ia sebahagian daripada perjalanan seorang anak seni.
Selepas buat persembahan saya dah jangkakan komen begitu dari netizen, saya terima.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Sutera ini tidak menafikan bahawa keadaan fizikal yang keletihan memberi sedikit kesan terhadap persembahannya, lebih-lebih lagi selepas melalui tempoh sibuk susulan lagu Jodoh Lebaran yang tular sebelum ini.
Saya tak nafikan (penat). Memang kepenatan disebabkan semua tahu gelombang Jodoh Lebaran.
Saya tak salahkan mana-mana pihak, bila diumumkan lolos ke AJL saya terkejut, mungkin juri ada penilaian masing-masing yang lebih profesional.
Aisha Retno nak berehat beberapa bulan

Meskipun begitu, Aisha menzahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak atau individu yang prihatin terhadap kesihatannya.
Terima kasih atas keprihatinan semua, kalau perkara ini terjadi lagi mungkin saya kena minum lagi banyak vitamin atau sediakan mental dan fizikal dengan lebih mantap.
Mengulas lanjut, Aisha memaklumkan bahawa dia bercadang untuk mengambil masa rehat bagi memulihkan tenaga sebelum kembali memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan ke pentas akhir AJL40.
Saya mungkin akan ambil masa berehat untuk beberapa bulan. Sejujurnya sesiapa yang pernah mengikuti saya daripada Disember tahun lalu sampai titik ini saya belum pernah rehat lagi.
Kalau Allah bagi rezeki kita galas selagi mampu. Apa-apa pun terima kasih atas keprihatinan saya akan cuba sehabis baik.
Mungkin betul, saya kena ambil masa beberapa bulan berehat tetapi dalam masa itu juga saya berkarya jugalah.
Terdahulu, Aisha mempersembahkan lagu Tak Adil di pentas AJL40SA dan berjaya melangkah ke peringkat seterusnya, namun persembahannya menerima pelbagai reaksi penonton yang berpendapat ia tidak mencapai tahap yang diharapkan.
Untuk info, 10 lagu yang berjaya mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) adalah Tiwikarma (K.O.I), Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid), Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie), Tak Adil (Aisha Retno), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik), Nurcinta (Amir Masdi), Lemah (Dayang Nurfaizah), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan) dan Semacam Pandora (Hazama).
The post AJL40 SA: Aisha Retno Akui Agak Penat, Terima Teguran Persembahan Kurang Bertenaga – ‘Terima Kasih Kerana Prihatin’ first appeared on OHBULAN!.





