PRK KKB | Dua pemimpin kanan kerajaan perpaduan diberi kepercayaan mengetuai cubaan untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dalam pilihan raya kecil itu tidak lama lagi.
Mereka ialah Setiauasaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, yang dilantik mengetuai jentera pilihan raya kerajaan dan dibantu Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong.
Menurut Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Asyraf Wajdi Dusuki, hasil pertemuan mereka petang tadi, setiap parti kerajaan juga bersepakat untuk terus mempertahankan orientasi dan pendekatan "politik kesederhanaan" dalam gerak kerja mereka.
"Semua parti kerajaan perpaduan bersepakat akan terus mempertahankan orientasi dan pendekatan politik kesederhanaan sebagai asas kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang agama dan kaum.
"Dengan pendekatan kesederhaan bagi menjamin kestabilan, kerajaan perpaduan akan dapat memberikan tumpuan terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutamanya bagi menangani kos sara hidup, menjamin peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti kepada rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia menyusul selepas pemimpin tertinggi kerajaan perpaduan bertemu dan bermesyuarat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan beberapa isu termasuk pengagihan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Mesyuarat bermula jam 5.30 petang itu dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,
Turut hadir kedua-dua timbalan perdana menteri iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta pemimpin kanan parti komponen BN dan PH.
Terdahulu Menteri Komunikasi yang juga jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, memberitahu media bahawa satu mesyuarat berlangsung petang tadi bagi membincangkan mengenai agihan peruntukan kepada pembangkang.
Bagaimanapun kenyataan media yang dikeluarkan Asyraf Wajdi tidak menyentuh mengenai isu tersebut.
Asyraf Wajdi berkata kerajaan perpaduan juga memandang serius tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen perkauman serta keagamaan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.
"Mesyuarat bersepakat agar kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini," katanya lagi.
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan selepas penyandangnya, Lee Kee Hiong, meninggal dunia pada 21 Mac lalu. Dia merupakan ahli DAP.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon untuk PRK berkenaan diadakan pada 27 April manakala hari mengundi ialah 7 Mei.
PRK di DUN bawah kawasan parlimen Hulu Selangor itu adalah yang ketujuh akan diadakan selepas PRU ke-15 berlangsung pada 2022.
Kerajaan akan diwakili calon dari PH, namun DAP setakat ini belum mengumumkan calon mereka.





