Wisma Putra kini memantau perkembangan terkini sembilan sukarelawan Malaysia daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel ketika mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Wisma Putra bersedia mengambil langkah diplomatik sewajarnya termasuk menggunakan saluran hubungan dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Insya-Allah, pihak Wisma Putra mengikuti isu ini dan bersedia untuk mengambil tindakan yang perlu termasuk melalui diplomasi peringkat tertinggi dan hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Fahmi berkata pihaknya masih menunggu laporan lanjut mengenai nasib kesemua sukarelawan terbabit, namun menjangkakan menerima maklum balas lebih jelas menjelang program Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena malam ini.
MyCARE hari ini memaklumkan sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) termasuk Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis negara telah dipintas oleh tentera Israel pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Misi FFC dan TMTG kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia menaiki kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali bersama tiga lagi iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal berkenaan ialah dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Misi kemanusiaan itu bertujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang dikepung serta berdepan sekatan Israel.
Secara keseluruhan, misi kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.