28.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Madani gagal komunikasi politik, bukan reformasi

    Shopee Sale

    ULASAN | Saya mengalu-alukan rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Rombakan ini harus dibaca sebagai satu ‘reset’ besar terhadap prestasi kerajaan, bukan sekadar pertukaran jawatan atau imbangan politik.

    Hakikatnya, kerajaan hari ini tidak berdepan masalah kekurangan reformasi. Masalah sebenar ialah reformasi yang dibuat tidak dapat diterjemahkan dengan baik kepada kehidupan rakyat, sehingga kebaikan dasar gagal dirasai dan difahami.

    Kerajaan tidak boleh terus mengulangi kesilapan mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum masak sepenuhnya, kemudian terpaksa ditangguhkan apabila dibantah.

    Keadaan ini bukan sahaja melemahkan keyakinan rakyat, malah memberikan peluru politik percuma kepada pembangkang untuk membina persepsi bahawa kerajaan tidak yakin dengan dasar sendiri.

    Rasionalisasi subsidi adalah contoh paling jelas. Dari sudut dasar, ia langkah yang betul dan perlu demi kelangsungan fiskal negara.

    Namun dari sudut komunikasi politik, kerajaan gagal menjelaskan siapa yang dilindungi, siapa yang selama ini bocor menikmati subsidi, dan bagaimana penjimatan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat.

    Akibatnya, rakyat hanya melihat harga naik, bukan perlindungan yang diberikan.

    Kekalahan pilihan raya atau kemerosotan sokongan tidak wajar disederhanakan dengan alasan kononnya kerajaan terlalu reformis atau belum cukup reformasi.

    Itu adalah penafian terhadap kelemahan sendiri. Masalah sebenar ialah kelemahan jentera, kegagalan naratif, dan jurang besar antara elit pembuat dasar dengan realiti hidup rakyat.

    MENARIK:  Warga emas rugi RM3.46 juta, ditipu skim pelaburan tak wujud

    Sehubungan itu, rombakan kabinet ini mesti disusuli dengan perubahan pendekatan yang jelas:

    Reformasi mesti diuji dari sudut dasar, implikasi politik dan emosi rakyat sebelum diumumkan.

    Menteri-menteri perlu tampil sebagai jurucakap utama dasar, bukan sekadar berlindung di sebalik frasa “keputusan kabinet”.

    Penyampaian kerajaan perlu beralih daripada angka dan istilah teknokrat kepada cerita sebenar kesan kepada rakyat.

    Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib memperkukuh naratif dan jentera, bukan hanya bergantung kepada pengumuman dasar dari Putrajaya.

    Rakyat tidak menolak reformasi. Rakyat menolak reformasi yang mereka tidak faham dan tidak rasa manfaatnya. Jika kelemahan ini tidak diperbetulkan, reformasi yang baik sekalipun akan bertukar menjadi liabiliti politik kepada kerajaan sendiri.

    Rombakan kabinet ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan bukan sahaja betul dari segi niat dan dasar, tetapi juga mampu memenangi keyakinan dan hati rakyat.


    MAHFUZ OMAR merupakan naib presiden Amanah dan bekas ahli parlimen Pokok Sena.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah