31.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Cabran yang perlu ditangani KKM

    Shopee Sale

    ULASAN | Setiap kali Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut, muncullah pelbagai cadangan untuk memperketatkan kawalan terhadap produk tembakau dan nikotin. Tahun ini, beberapa kumpulan advokasi menggesa kerajaan mengharamkan vape dan menaikkan lagi cukai tembakau.

    Walaupun cadangan itu dibuat atas nama kesihatan awam, sesuatu dasar perlu dinilai berdasarkan kesannya di lapangan, bukan niat di sebaliknya.

    Antara hujah yang sering digunakan ialah jika produk vape diharamkan sepenuhnya, penggunaannya akan berkurangan. Namun pengalaman beberapa negara menunjukkan perkara tersebut tidak semestinya berlaku.

    Singapura misalnya mempunyai antara peraturan vape yang paling ketat di dunia. Namun sehingga hari ini pihak berkuasa negara itu masih menjalankan operasi berterusan terhadap penjualan dan pengedaran vape haram.

    Itu menunjukkan bahawa walaupun produk tersebut diharamkan, permintaan tetap wujud dan pasaran haram terus mencari ruang untuk berkembang.

    Keadaan yang hampir sama turut berlaku di Brazil. Walaupun e-rokok diharamkan selama bertahun-tahun, satu kajian nasional melibatkan lebih 50,000 responden dewasa mendapati penggunaan e-rokok meningkat sekitar 600 peratus antara 2018 hingga 2023.

    Ia memberi gambaran bahawa larangan semata-mata tidak menghapuskan permintaan. Sebaliknya, penggunaan beralih ke saluran yang tidak dikawal dan sukar dipantau.

    Risiko paling bahaya

    Pengalaman negara-negara terbabit mengingatkan kita bahawa mengharamkan sesuatu produk tidak semestinya menghapuskan penggunaannya. Apa yang sering berlaku ialah permintaan berpindah ke pasaran haram yang tidak tertakluk kepada piawaian keselamatan, kawalan kualiti atau syarat pengesahan umur.

    Malaysia tidak terkecuali daripada risiko itu.

    Hari ini Malaysia sudah berdepan dengan salah satu pasaran rokok haram terbesar di dunia. Kajian Rokok Haram terkini menunjukkan rokok haram mewakili 56.7 peratus daripada keseluruhan penggunaan rokok pada awal tahun 2026, meningkat daripada 54.4 peratus sebelumnya. Ini merupakan peningkatan pertama sejak 2021.

    Ringkasnya, lebih separuh daripada rokok yang digunakan di Malaysia datang dari pasaran haram.

    Dalam keadaan pasaran haram yang sudah begitu besar, persoalan yang perlu ditanya ialah: apakah yang akan berlaku jika produk vape yang sah turut dikeluarkan dari pasaran?

    Risiko yang paling nyata ialah pengguna tidak berhenti menggunakan produk tersebut, sebaliknya beralih kepada produk yang dijual secara haram dan lebih sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

    Kebimbangan ini menjadi lebih relevan apabila muncul kes-kes melibatkan dadah sintetik yang ditemui dalam perananti vape. Malangnya, ada pihak yang menggunakan kes-kes ini sebagai alasan untuk mengharamkan keseluruhan kategori produk vape.

    Pada asasnya, ini adalah isu jenayah dan penguatkuasaan, bukannya kegagalan keseluruhan kategori produk vape.

    Masalahnya bukan pada kewujudan perananti vape itu, tetapi individu yang menyalahgunakan perananti tersebut untuk mengedar bahan terlarang. Kita tidak mengharamkan telefon bimbit kerana ia digunakan oleh sindiket jenayah untuk berkomunikasi. Kita juga tidak mengharamkan kenderaan kerana ada yang menggunakannya untuk mengedar dadah.

    Sebaliknya, tindakan diambil terhadap pelaku jenayah yang terlibat.

    Pendekatan yang sama seharusnya digunakan dalam isu ini. Jika terdapat unsur dadah sintetik dalam vape, tumpuan perlu diberikan kepada pengukuhan kawalan sempadan, operasi risikan, pemeriksaan bersasar dan tindakan terhadap rangkaian jenayah terancang.

    Mengharamkan keseluruhan kategori produk tidak akan menyelesaikan kelemahan penguatkuasaan yang menjadi punca sebenar masalah.

    Satu lagi cadangan yang sering dibangkitkan ialah menaikkan lagi cukai tembakau.

    MENARIK:  Isu air: Kami akan jawab jika MB Kedah bawa ke mahkamah - KM Pulau Pinang

    Kadar menurun perlahan-lahan

    Percukaian sememangnya mempunyai perananan dalam dasar kesihatan awam. Namun begitu, ia bukanlah penyelesaian kepada semua masalah, khususnya apabila kadar cukai meningkat lebih cepat daripada kemampuan penguatkuasaan.

    Australia merupakan contoh yang sering dirujuk dalam perbincangan ini. Selepas bertahun-tahun menaikkan cukai tembakau secara agresif, beberapa pakar ekonomi dan pembuat dasar mula mempersoalkan sama ada negara tersebut telah melepasi tahap optimum percukaian.

    Walaupun kadar merokok terus menurun secara beransur-ansur, pasaran tembakau haram berkembang dengan ketara dan hasil kutipan cukai tembakau turut merosot apabila lebih ramai pengguna beralih kepada produk tidak sah.

    Malaysia berdepan risiko yang sama.

    Apabila lebih separuh pasaran rokok sudah berada di luar saluran sah, ia memberi isyarat bahawa masalah utama bukan lagi kadar cukai semata-mata tetapi keberkesanan penguatkuasaan.

    Jika produk sah menjadi semakin mahal sedangkan produk haram mudah diperoleh, sebahagian pengguna akan memilih alternatif yang lebih murah berbanding berhenti sepenuhnya.

    Pada masa yang sama, perbincangan mengenai merokok dan vape sering mengabaikan faktor sosial dan ekonomi yang mempengaruhi tingkah laku pengguna.

    Ramai pengguna nikotin terdiri daripada kelompok berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup, ketidaktentuan pekerjaan dan pelbagai cabaran ekonomi yang lain.

    Begitu juga dalam isu penggunaan vape dalam kalangan belia. Faktor seperti persekitaran keluarga, pengaruh rakan sebaya, tahap pengawasan ibu bapa, kesihatan mental dan sokongan komuniti memainkan perananan yang besar dalam membentuk tingkah laku mereka.

    Ambil kira realiti lapangan

    Atas sebab itu, melihat isu vape belia semata-mata sebagai masalah produk adalah pendekatan yang terlalu mudah terhadap isu yang jauh lebih kompleks.

    Jika kerajaan benar-benar mahu mengurangkan penggunaan nikotin dalam kalangan belia, usaha perlu dipertingkatkan dari segi pendidikan, penglibatan ibu bapa, penguatkuasaan had umur dan program sokongan kepada golongan yang berisiko.

    Daripada memperkenalkan larangan baru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seharusnya memberi keutamaan kepada memastikan peraturan sedia ada benar-benar dilaksanakan dengan berkesan.

    Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menyediakan kerangka kawal selia yang komprehensif untuk mengawal produk, mengehadkan akses belia dan memperkukuh penguatkuasaan.

    Cabaran utama yang perlu ditangani oleh KKM ketika ini bukanlah ketiadaan undang-undang, tetapi pelaksanaannya. Isu seperti ketidakselarasan penguatkuasaan, kekeliruan pelesenan dan kelemahan koordinasi antara agensi perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah larangan tambahan.

    Dasar yang baik perlu mengambil kira realiti di lapangan. Permintaan tidak hilang hanya kerana sesuatu produk diharamkan. Jika peraturan gagal mengambil kira tingkah laku sebenar pengguna, pasaran haram akan terus berkembang, cabaran penguatkuasaan akan menjadi lebih besar dan pengguna akhirnya menjadi lebih sukar untuk dilindungi.

    Jika matlamatnya benar-benar untuk mengurangkan kemudaratan dan melindungi kesihatan awam, KKM perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Akta 852 yang lebih berkesan, penguatkuasaan yang tekal, serta dasar yang berpandukan bukti dan realiti di lapangan.

    Larangan menyeluruh mungkin kedengaran tegas, tetapi pengalaman banyak negara menunjukkan bahawa ia juga boleh membawa kesan yang tidak diingini.


    TARMIZI ANUWAR ialah Anggota Sekutu Malaysia di Consumer Choice Center.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah