28.3 C
Kuala Lumpur
Monday, July 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tanda tanya di sebalik keputusan ‘berani mati’ Aminuddin tanding di Linggi

    Shopee Sale

    Selepas lebih seminggu kempen pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan berlangsung, alasan menteri besar sementara Aminuddin Harun mengambil "keputusan berani mati" bertanding di kubu kuat Umno di Dewan Undang Negeri (DUN) Linggi masih jadi tanda tanya.

    Setakat ini, semua isyarat yang boleh dibaca nampaknya tidak menyebelahi Aminuddin.

    Kerusi DUN Linggi merupakan kubu kuat BN, dengan satu-satunya rekod kerusi itu bertukar tangan adalah pada 1969, melalui calon DAP.

    Selepas itu, Linggi kekal sebagai kubu BN yang tidak dapat ditawan oleh mana-mana parti lawan.

    Linggi sebagai kubu BN dikaitkan sebagai legasi pemimpin politik veteran Umno Isa Samad, yang mewarisi kerusi itu daripada bapanya Samad Ismail, sebelum diambil alih penyandang semasa kerusi itu, Mohd Faizal Ramli.

    Beberapa hari berkampung dan membuat tinjauan di Linggi memberi gambaran jelas jalan berliku buat Aminuddin.

    Segmen pengundi Melayu yang ditemui Malaysiakini, majoritinya merupakan pengundi setia BN sejak zaman berzaman.

    Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Mad berkongsi gambaran itu, selain keyakinan bahawa kerusi itu akan kekal sukar digugat oleh PH.

    Ini meskipun PH mempertaruhkan profil calon seperti Aminuddin, yang menurutnya, masih tidak berupaya untuk menarik sokongan pengundi khususnya kelompok pengundi tua.

    "Majoriti pengundi di sini adalah BN khususnya orang lama, (tapi sesetengah) anak muda juga bersama BN mengikut jejak orang tua mereka.

    "Selain itu anak muda di sini juga rapat dengan Faizal yang mudah didekati.

    "Kalau tanya saya, agak sukar untuk Aminuddin menang di sini walaupun dia seorang menteri besar," katanya.

    Dibayangi krisis isu adat

    Aminuddin yang mengangkat sumpah pada Ogos 2023 sebagai menteri besar juga nampaknya membawa satu lagi beban yang bakal menyukarkan lagi peluangnya untuk membuat kejutan di Linggi.

    Menurut Haji Mad, Linggi yang berada dalam jajahan Luak Sungai Ujong, menempatkan masyarakat yang masih berpegang teguh kepada Adat Perpatih.

    Jelasnya, masyarakat di kawasan itu menyalahkan Aminuddin berhubung krisis adat antara undang dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang berlarutan sehingga kini.

    "Meskipun tidak bercakap secara terbuka, tapi di kedai kopi pengundi bercakap soal adat ini, rata-ratanya menyalahkan Aminuddin" katanya.

    Kenyataan Haji Mad itu turut disokong Salleh Ismail yang berpendapat isu berkenaan akan mempengaruhi sokongan pengundi kepada Aminuddin.

    Komposisi pengundi, isu banjir

    Linggi merupakan kerusi majoriti Melayu dengan komposisi sebanyak 61 peratus, sementara pengundi Cina dan India membentuk hampir 18 peratus pengundi, dan selebihnya Orang Asli dan lain-lain kaum.

    Pengundi Melayu berada di sekitar Tanjung Agas, Pekan Linggi dan kampung tradisi, Bandar Sunggala, Kampung Sawah Sunggala, Pasir Panjang dan beberapa kawasan lain lagi.

    Pengundi Cina dalam kelompok kecil di Pekan Linggi, Pasir Panjang dan Bandar Sunggala yang merupakan peti undi menyumbang undi paling besar kepada BN.

    Di Pekan Linggi, beberapa pengundi Cina ketika ditemui meluahkan rasa marah kepada pentadbiran PH di negeri itu.

    Pengundi Cina yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chia tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri pimpinan Aminuddin kerana menurutnya gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasan itu.

    Pengundi Linggi, Ah Chia

    "Masalah banjir di sini tak selesai sehingga kini, itu Aminuddin telah janji berapa kali mahu selesaikan masalah ini.

    MENARIK:  Syarikat diasaskan suami Heliza didakwa buat perniagaan sekuriti tanpa lesen

    "Tiap kali banjir habis harta benda kami rosak, kami yang rugi, sampai bila mahu selesai," katanya.

    Nada sama juga turut disuarakan seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Lim, yang menyifatkan isu banjir masalah berlarutan tanpa penyelesaian.

    "Banjir datang barang kami habis rosak, kami rugi, sampai bila? Isu ini tidak diselesaikan lagi oleh kerajaan," ujarnya.

    Linggi juga menempatkan penduduk yang bekerja sebagai nelayan, kebanyakannya nelayan pesisir pantai.

    Ketika tinjauan, beberapa nelayan turut menyuarakan permasalahan mereka yang didakwa gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.

    Ketika ditemui Malaysiakini, mereka meluahkan rasa tidak puas hati dengan isu jeti uzur di kawasan itu serta peningkatan kos akibat kenaikan harga bahan bakar.

    Faktor calon

    Satu lagi faktor yang akan menyukarkan misi Aminuddin adalah reputasi penyandang kerusi itu, Faizal, yang rata-rata pengundi di kawasan itu yang ditemui, nampaknya berpuas hati dengan perkhidmatannya.

    Sentimen ini malah dikongsi oleh penyokong PH sendiri, Muhd Saufi Miad yang mengakui bahawa Faizal yang juga bekas exco kerajaan negeri berkhidmat dengan baik di situ.

    "Faizal walaupun tak sama parti...tapi jujur dia seorang pemimpin yang baik, tapi kenapa kita nak tukar sebab kita nak lebih baik, Tok Min (Aminuddin) menteri besar pasti dia boleh tawarkan lebih baik," jelasnya.

    Muhd Saufi menyifatkan langkah yang diambil Aminuddin sebagai satu langkah berani kerana sanggup menawarkan diri masuk bertanding di kubu BN.

    Aminuddin ketika ditemui baru-baru ini menegaskan keputusan diambilnya adalah keputusan politik, bukan sebab usaha untuk membenamnya seperti tanggapan sesetangah pihak.

    Tanggapan berkenaan dibangkitkan kerana Aminuddin sebelum ini berada di kem bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.

    Aminuddin meninggalkan kerusinya di Sikamat, yang dilihat merupakan kerusi selamat, untuk ditandingi setiausaha politiknya, Nor Azman Mohamad.

    Meski ini bukan kali pertama PH mempertaruhkan menteri besar sementara, atau ‘poster boy’ di kerusi yang berisiko, faktor yang menjadi pertimbangan untuk meletakkan Aminuddin di Linggi masih jadi tanda tanya.

    Bersatu pecah undi

    Kempen Aminuddin juga dilihat tiada yang istimewa, dengan jenteranya menumpukan kepada pengalamannya sebagai menteri besar dan prestasi pentadbiran negeri, selain memainkan sentimen BN sebagai “pengkhianat” yang menyebabkan PRN perlu diadakan lebih awal.

    Satu-satunya faktor yang mungkin berpihak kepada Aminuddin adalah hakikat bahawa kerusi itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, dengan seorang lagi calon adalah dari Bersatu.

    Aminuddin mempunyai peluang untuk membuat kejutan sekiranya dapat menarik sepenuhnya sokongan pengundi Cina dan India, meraih undi pengundi Melayu pada jumlah yang signifikan, serta pada masa yang sama calon Bersatu, Zamri Md Sa berupaya memecahkan sokongan pengundi Melayu untuk menjejaskan Faizal.

    Pada PRN 2023, yang menyaksikan pertembungan dua penjuru, Zamri tewas kepada Faizal dengan majoriti 1,461 undi.

    Yang hampir pasti, Aminuddin perlu berdepan “misi mustahil” di Linggi dengan kempen berbaki kurang seminggu saja lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah