PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tidak akan ada perlindungan dalam siasatan SPRM terhadap dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah.
Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar mengulangi kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah dan berkata, pihaknya tidak akan melindungi sesiapa.

“Kalau dimulakan dengan soal rasuah, langkah-langkah itu memang tegas. Saya tahu tak mudah kerana sukar untuk peranangi rasuah bila melibatkan golongan maha kaya kerana ramai penyokong-penyokong mereka.
“Tapi saya dah diberi maklum olehSPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu berbangkit, terutama terakhir di Sabah.
“Itu dimaklumkan oleh SPRM, siasatan sedang diteruskan dan Adun-adun berkaitan telah dipanggil. Tetapi setakat itu saja saya boleh beri makluman.
“Tetapi tidak benar sama sekali kalau dikatakan ada usaha mengekang atau menyekat (siasatan),” katanya semasa Waktu Soalan Perdana Menteri pagi tadi.

Anwar menjawab soalan yang dikemukakan oleh Awang Hashim (PN-Pendang), yang ingin tahu tentang usaha yang diambil Putrajaya untuk memerangi rasuah di Malaysia.





