Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjelaskan perbezaan pendiriannya dengan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai kedudukan Bersatu dalam gabungan itu berdasarkan tindakan parti berkenaan bertanding menentang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurut Abdul Hadi, kenyataan Ahmad Samsuri bahawa Bersatu masih merupakan anggota PN pula berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan gabungan itu.
Katanya, pendiriannya bahawa Bersatu telah terkeluar daripada PN dibuat berdasarkan tindakan parti berkenaan.
“Dari segi mafhumnya dia bertanding lawan parti dia sendiri, PN di Negeri Sembilan. Orang boleh faham sendirilah.
“Apa yang Dr Samsuri sebut itu apa yang ditulis dalam Perlembagaan, yang saya sebut (Hadi) dari mafhumnya. Dia lawan parti dia sendiri, apa maknanya (tindakan itu)” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika mengulas pendirian Samsuri pada 9 Ogos yang mengesahkan bahawa Bersatu masih merupakan parti komponen PN.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa PAS secara rasmi menganggap Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN.
Pendirian itu dibuat selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat parti berkenaan untuk menubuhkan pakatan politik baru.
Abdul Hadi turut menyifatkan Bersatu sebagai “terjerat sendiri” dalam percaturan politik parti itu.

Bagaimanapun, Samsuri yang juga Naib Presiden PAS tidak mengulas lanjut mengenai percanggahan pendirian dengan Abdul Hadi.
Sebaliknya, Samsuri menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan kedudukan Bersatu perlu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan.
Samsuri ketika itu berkata kedudukan Bersatu perlu dilihat berdasarkan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sementara itu, ketika mengulas dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu, Abdul Hadi berkata parti itu sendiri yang bertindak melawan rakan gabungannya.
“Dia lawan parti dia (PN) sendiri, apa maknanya?” katanya merujuk kepada tindakan Bersatu yang bertanding menentang PN dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.





