PRK SG BAKAP | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan apa saja kaedah dan bahan kempen dilakukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap kali ini selagi ia tidak melanggar peraturan ditetapkan.
Timbalan Pengerusi SPR, Azmin Sharom, berkata kempen calon dan pihak yang terlibat mestilah tidak menyentuh isu 3R (raja, kaum dan agama).
"Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk menyentuh isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang -undang lain yang berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia dikeluarkan sejurus selepas SPR secara rasmi menerima dua pencalonan untuk bertanding di Sungai Bakap pada 6 Julai depan.
Proses penamaan calon itu berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal.
Untuk rekod Sungai Bakap adalah satu daripada tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang terletak di bawak kawasan parlimen berkenaan.
Dua lagi DUN ialah Sungai Acheh dan Jawi.
Kata Azmi, sesuatu lambang, simbol, bendera parti politik calon yang bertanding - sama ada berdaftar secara rasmi atau tidak namun memberikan sokongan atau bersekutu dengan calon terbabit - dibenarkan untuk dipamerkan.
Katanya ia boleh dipamerkan secara bersama atau berasingan.
"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen, atau gabungan dan pakatan pada bahan kempen pilihan raya," katanya.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 24 Mei lalu, selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya.
Media melaporkan Nor Zamri, 56, mengalami komplikasi di bahagian perut telah pergi ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk menerima rawatan sebelum beliau dipindahkan ke HSJ.
Dia kemudian ditidurkan selepas doktor mendapatkan kebenaran ahli keluarga.
Nor Zamri atau lebih dikenali YB Abang Zam mewakili suara penduduk Sungai Bakap selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
PRK Sungai Bakap kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Joohari Ariffin dari PH yang mewakili kerajaan dan Abidin Ismail (PAS-PN).





