WAWANCARA | Kerana naluri seorang ibu dan kebimbangan terhadap kesesuaian bidang yang diceburi, Rosliza Che Amat pernah bertindak secara halus dengan harapan minat anaknya, Putri Aina Husna Mohd Subri, pudar.
Ia bukanlah sukar untuk dimengertikan.
Sebagai seorang pelajar perempuan, dapat difahami tentang rasa gerun dan risau si ibu apabila Putri Aina – ketika itu baru berusia tujuh atau lapan tahun – memilih sukan tomoi.
Pilihan kedua Putri Aina juga tidak kurang lasaknya. Dia memilih bola sepak.
Kerana itu si ibu pernah menyorokkan pakaian dan kasut but kanak-kanak terbabit.
Tetapi ternyata ia tidak cukup untuk mematahkan minat Putri Aina. Kanak-kanak itu berikhtiar untuk mencari pakaian atau kasut yang disorokkan itu.
“Saya jumpa juga baju tu,” katanya mengenang kejadian ketika berada di tahun satu atau tahun dua itu.
Selepas menemukan kasut atau pakaian itu, dia ke padang macam selalu.
Bapa Putri Aina, Mohd Subri Abdullah, mengakui pada awal peringkat awal isterinya agak keberatan kanak-kanak terbabit melibatkan diri dalam sukan selasak tomoi dan bola sepak.
Tambahan pula Putri Aina merupakan satu-satunya anak perempuan pasangan berkenaan.

Namun pada masa sama Putri Aina sering mengikut Mohd Subri ke padang – antara lain untuk melihat abang-abangnya atau bapa mereka beraksi bersama bola. Perlahan-lahan minatnya berkembang.
Mohd Subri pula cuba meyakinkan Rosliza supaya memberikan ruang kepada anak mereka mengejar minat tersebut.
“Saya katakan kepada dia: ‘Umi kena kuat. Dalam perjalanan seseorang ni kita tak boleh nak halang. Teruskan.’
“Saya juga yakinkan isteri bahawa selagi kami ada, kami mesti akan sokong minat anak-anak. Sama ada mereka berjaya atau tidak, itu bukan urusan kita,” katanya.
Ada ketika rindu menyapa
Kebimbangan Rosliza itu akhirnya sedikit demi sedikit bertukar menjadi sokongan.
“Ayah dengan mak saya memang tak pernah tinggal saya. DI mana-mana pun mereka selalu ada,” kata Putri Aina pula.
Sokongan itu menjadi semakin bermakna apabila Putri Aina terpaksa berjauhan daripada keluarga untuk mengejar impiannya pada waktu-waktu tertentu.
Tinggal di asrama, dia perlu mengikuti jadual harian yang ketat. Belajar pada waktu siang sebelum rutinnya diteruskan dengan latihan bola sepak pada sebelah malam. Biasanya sehingga jam 10 malam.
Pada hujung minggu pula jadual Putri Aina sering dipenuhi dengan perlawanan dan kejohanan.
Kepada Malaysiakini, Putri Aina kemudian mengakui bahawa ada ketikanya dia tidak cukup kuat untuk berdepan dengan cabaran segetir itu ketika usianya masih terlalu muda.
Justeru, kata penjaga gol skuad bola sepak B17 kebangsaan itu, dia pernah menangis kerana berdepan tekanan, atau mengalami rasa rindu kepada keluarga.
“Kalau kat asrama tu, ada juga rasa macam nak balik, nak luangkan masa dengan keluarga.
“Pernah cakap dengan mak jugalah (masalah yang dialami), pernah nangis, rasa macam stres,” katanya.

Namun sebagai ibu bapa, Mohd Subri dan Rosliza memainkan perananan mereka sebaik mungkin. Kedua-duanya memberikan kata semangat dan memujuk Putri Aina agar bertabah.
Jika ada kelapangan, kata Mohd Subri, dia akan datang melawat dan melihat anaknya berlatih. Dia mencuba sebaik mungkin untuk anaknya berasa dekat dengan orang yang disayangi. Walaupun seketika.
Pengorbanan itu terbukti berbaloi apabila impian Mohd Subri dan Rosliza untuk melihat Putri Aina menyarung jersi kebangsaan dan membawa nama Malaysia menjadi kenyataan.
“Memang target saya ialah nak tengok Putri Aina menyarung jersi Malaysia,” katanya.
Putri Aina, 15, menarik perhatian ramai termasuk dalam kalangan peminat sukan bola sepak Indonesia apabila mempamerkan aksi membanggakan ketika menjaga gawang Malaya Tigress B17 di kejohanan Piala Srikandi Merdeka di negara itu baru-baru ini.

Malaysia menamatkan kejohanan di tempat ketiga selepas menewaskan Jordan 4-0 pada perlawanan penentuan.
Sebelum itu skuad bimbingan Fairuz Montana Zainal Abidin mencatat pengalaman bermakna apabila menenggelamkan pasukan Arab Saudi 9-0.
Namun bagi Mohd Subri, ada satu perkara yang lebih menyentuh hatinya ketika melihat kembali perjalanan Putri Aina di Indonesia.
Sebelum memakai sarung tangan untuk menjaga maruah Malaysia di gawang pasukan kebangsaan, Putri Aina membalut tangannya dengan pita.
Pada pita itu tertulis dua perkataan yang sangat bermakna: Umi dan Abah.
“Maknanya nama Umi dia dengan nama Abah dia adalah kekuatan untuk Putri Aina di sana,” katanya.
Daripada seorang ibu yang pernah menyembunyikan pakaian dan kasut bola anaknya kerana bimbang, kini nama Rosliza pula yang dibawa dengan sangat dekat dengan Putri Aina setiap kali melangkah memasuki padang.
Baca Petualangan Putri Aina: Dari bayi pramatang, tomoi ke penjaga gol B17





